Rabu, 12 Januari 2022 | 5:37pm
Surat pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai timbalan pendakwa rayakanan dalam kes pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dihadapi Datin Seri Rosmah Mansor dipertikaikan oleh peguam bela.- Foto fail NSTP
Surat pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai timbalan pendakwa rayakanan dalam kes pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dihadapi Datin Seri Rosmah Mansor dipertikaikan oleh peguam bela.- Foto fail NSTP

Peguam Rosmah pertikai surat pelantikan Sri Ram

KUALA LUMPUR: Peguam bela, Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili Datin Seri Rosmah Mansor hari ini mempertikaikan surat pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam kes pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dihadapi isteri bekas perdana menteri itu.

Dalam prosiding hari ini, Geethan, berkata surat terbabit tidak menyatakan bahawa Sri Ram diberi kuasa untuk menjalankan pendakwaan bagi kes pengubahan wang haram terhadap anak guamnya, sebaliknya hanya menyebut dua kes lain.

Geethan berkata, pihaknya mengambil kedudukan bahawa tidak ada sebarang alasan mengapa surat pelantikan itu tidak menyatakan secara spesifik bahawa Sri Ram dilantik untuk mengendalikan pendakwaan bagi kes pengubahan wang haram.

Menjawab persoalan itu, Sri Ram menjelaskan bahawa pada bahagian pertama surat berkenaan jelas menyatakan bahawa Pejabat Peguam Negara memberikan kuasa yang luas kepadanya untuk menjalankan pendakwaan mengikut Seksyen 376 Kanun Acara Jenayah.

Sementara itu, seorang lagi peguam Rosmah, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, mencadangkan supaya pihak pembelaan diberi masa untuk memfailkan permohonan teratur bagi membatalkan kelayakan Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya dan supaya permohonan itu didengar pada tarikh lain.

Sri Ram sebaliknya mengemukakan bantahan dengan mendakwa, Rosmah menyalahgunakan proses mahkamah apabila sekali lagi mempertikaikan surat pelantikannya.

Katanya, isu terbabit sudah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi dan dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes rasuah dihadapi Rosmah berhubung projek tenaga solar di sekolah luar bandar Sarawak.

"Ia adalah tindakan menyalahgunakan proses mahkamah oleh tertuduh jika permohonan ini membabitkan alasan yang sama," katanya.

Firoz bagaimanapun, berkata Sri Ram tidak sepatutnya menuduh anak guamnya menyalahgunakan proses mahkamah kerana ia membabitkan persoalan undang-undang dan Rosmah berhak untuk mengemukakan permohonan itu.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, Hakim Mohamed Zaini Mazlan memberikan masa kepada peguam untuk memfailkan permohonan bagi membatalkan kelayakan Sri Ram.

Hakim menetapkan pada 24 Januari ini untuk mendengar permohonan itu bersama-sama dengan permohonan pembelaan supaya diriya menarik diri daripada mendengar kes itu dan permohonan untuk menggantung prosiding perbicaraan berkenaan.

Rosmah memohon perintah bahawa kesemua prosiding dalam kes terbabit digantung sehingga rayuannya supaya Mohamed Zaini menarik diri didengar dan diputuskan Mahkamah Rayuan.

Rosmah berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Berita Harian X