Rabu, 12 Januari 2022 | 5:02pm
Bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz, dilantik sebagai Pengerusi MARA Corporation Sdn Bhd (MARA Corp) yang baharu, berkuat kuasa 28 Disember lalu. - Foto Google
Bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz, dilantik sebagai Pengerusi MARA Corporation Sdn Bhd (MARA Corp) yang baharu, berkuat kuasa 28 Disember lalu. - Foto Google

Othman Aziz Pengerusi MARA Corp baharu

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz, dilantik sebagai Pengerusi MARA Corporation Sdn Bhd (MARA Corp) yang baharu, berkuat kuasa 28 Disember lalu.

Pengerusi MARA, Datuk Seri Azizah Dun, ketika mengumumkan perkara itu, berkata Senator Dewan Negara berkenaan memiliki Ijazah Sarjana Muda Kepujian Pengurusan Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam industri korporat.

"Berbekalkan pengalaman kerja di syarikat terkemuka seperti Sime Darby Plantations, Syarikat Bersekutu Kumpulan Harrisons Malaysia Plantations Berhad dan sebuah anak syarikat Malaysia Mining Corporation Berhad, termasuk menerajui Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), saya yakin lantikan ini tepat dengan aspirasi dan visi MARA Corp.

"Ini selari matlamat ke arah sama-sama menyusun dan memangkin pelaburan untuk menyokong mandat serta agenda ekonomi Bumiputera seterusnya.

"MARA percaya dengan sifat kepimpinan dan pengalaman yang luas, Othman Aziz mampu memperkukuhkan lagi operasi serta perkhidmatan MARA Corp, dalam memaju, membangunkan agenda Bumiputera sekali gus menjana pulangan pelaburan yang baik, konsisten kepada MARA," katanya.

Kementerian Pembangunan Luar Bandar, 8 Mei 2020, mengumumkan pelantikan Datuk Dr Syed Muhamad Syed Abdul Kadir bagi menyandang jawatan Pengerusi MARA Corp, berkuat kuasa 15 Mei 2020.

Berita Harian X