Rabu, 12 Januari 2022 | 4:28pm
Foto fail NSTP
Foto fail NSTP

Pengambilan dos penggalak tidak boleh dipandang negatif - Pakar

KUALA LUMPUR: Keperluan mengambil vaksin COVID-19, termasuk dos penggalak tidak boleh dipandang sebagai sesuatu yang negatif kerana ia langkah perlindungan diri daripada jangkitan virus itu yang sentiasa bermutasi.

Pakar Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Aidalina Mahmud, berkata tahap keberkesanan vaksin terhadap jangkitan COVID-19 berkurangan seiring masa, justeru dos penggalak perlu untuk meningkatkan ketahanan diri.

"Virus secara semula jadinya akan bermutasi. Jika ada yang menghalang pembiakan, ia akan menukar struktur diri untuk mengatasi halangan itu dan kita tidak tahu sebanyak mana lagi virus COVID-19 ini akan bermutasi.

"Walaupun vaksin tidak menjadikan kita kebal sepenuhnya daripada virus ini, sekurang-kurangnya kita ada perlindungan daripada jangkitan, seperti kita memakai topi keledar dan tali pinggang keledar ketika memandu, yang mengurangkan kecederaan jika berlaku kemalangan," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas kebimbangan yang wujud dalam segelintir masyarakat untuk mengambil dos COVID-19 yang berikutnya jika diperlukan, termasuk dos penggalak ketika ini, selepas sudah lengkap menerima dua dos suntikan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, sebelum ini menasihatkan penerima vaksin COVID-19 supaya mengambil dos penggalak sekurang-kurangnya tiga bulan selepas menerima vaksin primer.

Ia susulan dapatan data kajian klinikal dan kajian Real World, termasuk The Real-World Evaluation of COVID-19 Vaccines Under the Malaysia National COVID-19 Immunisation Programme (RECoVaM), yang mendapati tahap keberkesanan vaksin terhadap jangkitan COVID-19 berkurangan dengan masa.

Katanya, data terkini menunjukkan varian Omicron boleh menyebabkan peningkatan penularan jangkitan, kebolehupayaan pengikatan virus yang lebih tinggi dan kelolosan antibodi yang lebih tinggi, daripada imuniti yang disebabkan oleh vaksin atau jangkitan semula jadi.

Justeru, Dr Aidalina meminta mereka yang layak untuk menerima dos penggalak supaya mendapatkannya, demi kesihatan diri, keluarga dan masyarakat, sama seperti tujuan pengambilan dua dos sebelum ini.

"Janganlah kita mengeluh kerana perlu divaksin lagi. Kita sedia tahu, implikasi jika tidak divaksin itu lebih besar sehingga membawa kematian.

"Kerajaan juga memberikannya secara percuma. Ramai penduduk di negara lain yang tidak mendapat vaksin terkorban walaupun hanya dijangkiti Omicron yang dikatakan kurang ganas daripada varian asal," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Perubatan dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Hafiz Jaafar, berkata kebaikan mengambil dos penggalak masih mengatasi kesan sampingan vaksin itu sendiri dan ia dibuktikan melalui data harian berkaitan kes jangkitan baharu COVID-19 di Malaysia serta seluruh dunia.

"Kajian masih dijalankan dan isu ini sama seperti influenza, yang mana virus berubah dan bermutasi, maka kita perlu bersiap siaga untuk melawan virus.

"Bagi influenza itu sendiri, kita masih perlu mengambil vaksin tahunan untuk melindungi diri daripada jangkitan disebabkan varian virus yang berbeza.

"Dos penggalak COVID-19 ini adalah perisai untuk badan kita daripada mendapat jangkitan yang teruk," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, Malaysia sentiasa membuat keputusan berdasarkan maklumat yang diterima daripada pakar, bukan hanya di dalam negara kita, bahkan dari negara lebih maju dan negara Islam lain.

Berita Harian X