Rabu, 12 Januari 2022 | 2:18pm
Kerajaan akan memastikan supaya kapasiti kolam takungan tidak berubah dan dijaga di samping meneruskan pembangunan. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Kerajaan akan memastikan supaya kapasiti kolam takungan tidak berubah dan dijaga di samping meneruskan pembangunan. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Semua kawasan kolam takungan air di KL akan dipertahankan

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan memberi jaminan kawasan kolam takungan air sedia ada di ibu negara akan terus dipertahankan dan terpelihara daripada sebarang projek komersial.

Menterinya, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata isu kepentingan mempertahankan kolam takungan air khususnya bagi tujuan tebatan banjir akan dibawa kepada jawatankuasa khas untuk tindakan susulan.

"Pada pendapat saya, kawasan sekitar dan kapasiti air dalam kolam takungan perlu dipertahankan termasuk mengambil kira syarat ditetapkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan syarat ini tidak berubah.

"Malah, perkara ini sudah dibincangkan sejak tiga bulan lalu bahawa semua kawasan takungan dan kapasitinya mesti dipertahankan," katanya kepada BH, semalam.

Datuk Seri Shahidan Kassim.
Datuk Seri Shahidan Kassim.

BH semalam melaporkan, agensi teknikal dan kejuruteraan yang bertanggungjawab isu banjir pernah mengesyorkan beberapa kolam air di ibu kota diwartakan sebagai kolam takungan banjir dan mengelakkannya daripada dijadikan kawasan komersial, namun syor itu ditolak.

Perkara itu didedahkan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia yang juga bekas Ketua Pengarah JPS, Datuk Ir Nor Hisham Mohd Ghazali bahawa syor dan cadangan kolam takungan diwartakan dibuat berdasarkan aspek teknikal, khususnya berkaitan kepentingan rancangan tebatan banjir di Kuala Lumpur.

Pada masa sama, Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof Dr Ahmad Ismail, berkata sebarang gangguan terhadap kawasan tadahan air di Kuala Lumpur adalah berisiko berikutan kedudukan ibu kota yang tiada kawasan menyerap air, selain kerap berlaku banjir kilat.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata, pihaknya komited memastikan ibu kota mempunyai kawasan hijau, termasuk kolam takungan air yang mencukupi dalam keadaan pembangunan diteruskan.

"Ada juga pembangunan dibuat di kawasan sekitar sebuah kolam takungan di mana kita minta syarikat (pemaju) tidak mengganggu kolam takungan ini dan mereka bersetuju.

"Kita memberi perhatian supaya kapasiti kolam takungan tidak berubah dan dijaga di samping pembangunan boleh diteruskan," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kolam takungan air yang terjejas akibat pembangunan menyalurkan kepadanya untuk mencari penyelesaian terbaik.

Pada masa sama, katanya sebarang projek pembangunan yang dilaksanakan akan dipastikan ia tidak membabitkan perlanggaran undang-undang dan peraturan ditetapkan pihak berkuasa.

"Saya sendiri mahu melihat lebih banyak kolam takungan air bagi mengatasi masalah banjir dapat dipertahankan di ibu kota," katanya.

Namun beliau menjelaskan, tidak semua tanah di ibu kota adalah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana ada sebahagiannya adalah kepunyaan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG).

"Dalam melalui proses pembangunan yang tidak boleh dielakkan di Wilayah Persekutuan, kita juga akan menambah kawasan lapang yang ditanam dengan banyak pokok, malah kita sasarkan untuk menanam sejuta pokok.

"Kita tidak akan membuat sesuatu yang boleh menyebabkan kesan yang memudaratkan penduduk, maknanya kita tidak bangunkan kawasan kolam takungan air," katanya.

Berita Harian X