Rabu, 12 Januari 2022 | 8:33am
 Foto hiasan
Foto hiasan

27 lagi kematian akibat COVID-19

PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan 27 lagi kematian akibat COVID-19 setakat tengah malam tadi, termasuk sembilan kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

Data melalui laman sesawang COVIDNOW, menunjukkan peningkatan bilangan kematian semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian akibat COVID-19 di negara ini meningkat kepada 31,723 kes dengan 6,401 daripadanya adalah kes BID.

Menurut laman sesawang GitHub Kementerian Kesihatan (KKM) pula menunjukkan Selangor merekodkan kematian akibat COVID-19 tertinggi semalam iaitu sembilan kes, diikuti empat kematian masing-masing di Johor dan Terengganu.

Sabah dan Kuala Lumpur masing-masing mencatat tiga kematian serta masing-masing satu kematian di Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang.

Sehingga tengah malam tadi juga, sebanyak 39,913 kes jangkitan masih aktif dengan sejumlah 32,703 kes menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 3,659 pesakit menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan 3,322 pesakit lagi dirawat di hospital.

Sementara itu, sebanyak 253,944 dos vaksin COVID-19 diberikan semalam, iaitu 2,152 bagi dos pertama, 3,133 dos lengkap dan 248,659 dos penggalak.

Setakat tengah malam tadi juga, sebanyak 97.8 peratus populasi dewasa negara sudah divaksin, manakala 88 peratus populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun juga sudah melengkapkan vaksinasi masing-masing.

Berita Harian X