Selasa, 11 Januari 2022 | 11:43pm
 - Foto hiasan
- Foto hiasan

Penyata akaun palsu, empat lagi ditahan

ALOR SETAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat lagi individu bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan penyata akaun bank syarikat mengandungi butiran palsu kepada sebuah syarikat pembersihan antara 2018 dan 2019.

Sumber SPRM malam ini memaklumkan, mereka merangkumi tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 37 hingga 51 tahun yang ditahan berasingan di Pejabat SPRM Kedah, di sini.

Seorang lelaki pengurus sebuah syarikat berumur 44 tahun ditahan pada jam 8 malam semalam di Pejabat SPRM Kedah, manakala wanita pemilik syarikat berusia 38 tahun ditahan pada jam 10.15 pagi hari ini di Pejabat SPRM Kedah.

"Dua lelaki berusia 37 dan 51 tahun yang juga pemilik syarikat, masing-masing ditahan pada jam 2.30 petang tadi dan 7.30 malam ini di Pejabat SPRM Kedah," kata sumber itu.

Katanya, pengurus berusia 44 tahun itu direman lima hari bermula hari ini manakala wanita itu akan diambil kenyataan dan dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Permohonan reman terhadap dua lelaki yang juga pemilik syarikat itu akan dibuat esok.

Semua Orang Kena Tahan (OKT) itu diberkas kerana dipercayai mengemukakan penyata akaun bank milik syarikat yang mempunyai butiran palsu kepada sebuah syarikat pembersihan untuk melayakkan syarikat mereka memasuki tender Penswastaan ​​Pengumpulan Sisa Pepejal dan Pengurusan Pembersihan Awam di Wilayah Utara.

Sumber itu berkata, SPRM akan mengesan individu lain yang dipercayai terbabit dalam kes itu dan mengesan dokumen penting berkaitan kes berkenaan.

Semalam, BERNAMA melaporkan, seramai 21 individu termasuk tiga wanita berusia antara 31 hingga 77 tahun ditahan SPRM secara berasingan di sekitar Bangi, Selangor dan Pejabat SPRM Kedah untuk membantu siasatan kes itu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Datuk Shaharom Nizam Abd Manap, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – BERNAMA

Berita Harian X