Selasa, 11 Januari 2022 | 8:11pm

Peruncit dakwa minyak masak paket kehabisan stok

KOTA BHARU: Peniaga runcit di sekitar bandar ini mendakwa bekalan minyak masak paket sekilogram dan minyak masak dalam botol kehabisan sejak lebih sebulan lalu.

Tinjauan di beberapa kedai runcit mendapati kebanyakan kedai mendakwa bukan sahaja terputus bekalan minyak paket, malah minyak masak dalam botol turut terputus disebabkan tidak lagi mendapat bekalan daripada pembekal.

Pekerja kedai runcit, Siti Sarah Mohd Din, 37, berkata sebelum ini dia mengambil bekalan minyak masak secara terus dari sebuah kilang di Pasir Mas, namun sejak lebih sebulan lalu dia tidak lagi mendapat bekalan seperti kebiasaannya.

"Kali terakhir saya mendapat bekalan minyak masak daripada kilang itu adalah pada November tahun lalu sebanyak 340 paket dan kini bekalan minyak tidak lagi diperoleh.

"Ramai pelanggan saya seperti peniaga kuih muih dan juga pisang goreng mengalami masalah apabila terputus bekalan minyak masak sehingga memaksa mereka mendapatkan bekalan di daerah lain," katanya ketika ditemui di Wakaf Che Yeh, hari ini.

Pekerja kedai runcit, Khairil Fajri Afendi, 31, berkata ketika membeli barang keperluan kedainya pada Disember tahun lalu, pemborong tidak memberi bekalan minyak masak seperti yang diperlukan menyebabkan dia terputus bekalan minyak masak hingga hari ini.

"Malah ada pelanggan yang datang ke kedai memarahi saya dan memberitahu sengaja menyorok bekalan minyak masak dan hanya dijual kepada orang yang tertentu sahaja.

"Bagaimanapun, saya sendiri kebingungan apabila bekalan minyak masak terputus dalam tempoh yang begitu lama sehingga membebankan pengguna," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Azanizam Affendi Juri, berkata setakat ini pihaknya menerima tiga aduan daripada orang ramai.

"Kita juga sudah menyarankan peruncit supaya mendapatkan bekalan minyak daripada pembekal yang disenaraikan untuk mendapatkan bekalan berkenaan," katanya ketika dihubungi.

Fitriyani Rosli, 32, menunjukkan rak minyak masak paket kosong susulan kehabisan stok. Foto NSTP/Hazira Ahmad Zaidi
Fitriyani Rosli, 32, menunjukkan rak minyak masak paket kosong susulan kehabisan stok. Foto NSTP/Hazira Ahmad Zaidi
Berita Harian X