Selasa, 11 Januari 2022 | 6:19pm
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun (tengah), Timbalan Menteri Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, (kanan) dan Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik), Dr Hishamuddin Mohd Hashim (kiri) bersama Pasukan Projek Khas penggubalan Rang Undang-undang Antigangguan Seksual semasa sesi perjumpaan di kementerian itu hari ini. - Foto KPWKM
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun (tengah), Timbalan Menteri Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, (kanan) dan Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik), Dr Hishamuddin Mohd Hashim (kiri) bersama Pasukan Projek Khas penggubalan Rang Undang-undang Antigangguan Seksual semasa sesi perjumpaan di kementerian itu hari ini. - Foto KPWKM

RUU Antigangguan Seksual bacaan kali kedua bulan depan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dijangka membentangkan Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual (RUU AGS) untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada Mesyuarat Parlimen bagi Penggal Kelima bermula 28 Februari hingga 24 Mac ini.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata penggubalan RUU itu seiring dengan agenda kerajaan untuk mempertingkatkan kesejahteraan dan keselamatan dalam menangani ketidaksamaan gender dan selari dengan kuasa untuk membuat undang-undang seperti yang diperuntukkan mengikut Perkara 73 (a) dan 74(1), Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, KPWKM juga menubuhkan Pasukan Projek Khas terdiri daripada agensi kerajaan seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Luar Negeri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Sumber Manusia, ahli akademik dan badan bukan kerajaan (NGO) yang memiliki kepakaran, pengetahuan dan pengalaman yang luas berkenaan gangguan seksual untuk menggubal RUU ini.

"Segala pandangan, maklum balas dan cadangan yang diberikan oleh ahli pasukan berkenaan ketika proses perbincangan dan libat urus amat dihargai kerana mereka adalah penggerak utama dalam proses penggubalan RUU ini.

"Namun pada masa sama, orang ramai juga boleh memberi sebarang cadangan dan pandangan bagi penambahbaikan RUU berkenaan di portal rasmi kementerian (www.kpwkm.gov.my).

"Ruang untuk penambahbaikan masih ada lagi dan kita perlukan maklum balas daripada Keluarga Malaysia supaya dapat meneliti serta mengkaji segala cadangan," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Sebelum ini, pembentangan bacaan kali pertama di Dewan Rakyat dilakukan pada 15 Disember lalu.

Beliau berkata, kementerian terus komited untuk membentangkan RUU itu bagi bacaan dan perbahasan di Dewan Negara pada tahun ini.

"Perjalanan penggubalan RUU ini bermula sejak tahun 2019 bagi menunjukkan kerajaan amat prihatin dan serius dalam menangani dan menghapuskan diskriminasi berasaskan gender di negara ini.

"Saya berharap RUU ini dapat direalisasikan dengan pembabitan dan sokongan penuh semua pihak khususnya ahli-ahli SPT," katanya.

Berita Harian X