Selasa, 11 Januari 2022 | 5:44pm
Timbalan Presiden, Oh Tong Keong
Timbalan Presiden, Oh Tong Keong

Kes Azam Baki patut disiasat jawatankuasa khas bebas

KUALA LUMPUR: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) mencadangkan supaya satu jawatankuasa khas bebas ditubuhkan bagi menyiasat isu membabitkan dakwaan pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Timbalan Presiden, Oh Tong Keong, berkata jawatankuasa khas bebas itu juga perlu untuk membuktikan kepada rakyat bahawa terdapat kebebasan badan penguatkuasaan dan badan kehakiman di negara kita.

Jawatankuasa itu perlu terdiri daripada pihak atasan SPRM, polis, dua ahli Parlimen kerajaan dan dua ahli Parlimen pembangkang, organisasi bukan kerajaan yang bebas, contohnya Badan Ketelusan Antarabangsa untuk menyiasat dan bertanggungjawab melaporkan perkembangan kerja penyiasatan kepada Parlimen.

"Negara kita memerlukan satu mekanisme komprehensif untuk membolehkan pihak penguat kuasa menjalankan fungsi dan peranan berbeza serta melaksanakan semak dan imbang antara satu sama lain.

"Ini adalah untuk memastikan tiada isu rasuah yang wujud dalam badan-badan penguatkuasaan di negara kita," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, sekiranya orang awam atau pegawai yang didakwa menerima rasuah, SPRM berhak menjalankan siasatan dan membawa kes itu ke mahkamah, tetapi sekiranya pegawai SPRM yang didakwa terbabit dalam kes rasuah, siapa yang akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

"Oleh itu, saya berpendapat adalah perlu satu mekanisme semak dan imbang untuk negara kita bagi memantau dan memastikan pegawai atasan bagi mana-mana badan penguatkuasaan tidak terbabit dalam kes rasuah," katanya.

Berita Harian X