Selasa, 11 Januari 2022 | 3:25pm

Polis tahan dua lelaki, rampas ganja bernilai RM24,570

GEORGETOWN: Polis menahan dua lelaki yang menaiki sebuah kereta dan merampas 9.82 kilogram ganja bernilai RM24,570 daripada mereka di Jalan Masjid Negeri di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata pengawal keselamatan dan pengusaha kedai makan berusia 51 tahun itu ditahan jam 7.45 malam ketika kedua-duanya berada dalam kereta berkenaan dan dipercayai dalam perjalanan untuk menghantar bekalan dadah kepada pembeli.

"Penahanan dilakukan hasil risikan dan intipan yang dijalankan sejak sebulan lalu. Pemeriksaan lanjut di dalam kereta itu menemukan 10 ketulan mampat ganja seberat 9,828 gram bernilai RM24,570.

"Siasatan mendapati mereka mendapatkan bekalan dadah daripada sindiket dan menjualnya semula untuk pasaran tempatan sejak tahun lalu. Semua ganja itu boleh digunakan oleh seramai 18,656 penagih dadah," katanya pada sidang media hari ini.

Mohd Shuhaily berkata, selain penahanan kedua-dua lelaki itu, polis turut menyita kereta bernilai RM30,000 itu dan wang tunai RM35,140.

Beliau berkata, seorang daripada mereka positif terhadap dadah dan kedua-duanya kini direman enam hari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata pihaknya menahan 380 individu termasuk dua anggota polis berpangkat Konstabel dan Lans Koperal sejak 1 Januari hingga 9 Januari lalu kerana kesalahan berkaitan dadah antaranya membekal, memiliki dan didapati positif terhadap dadah.

Ujian air kencing ke atas dua anggota polis itu dijalankan oleh Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

"Fokus kami tahun ini memang mahu membanteras kegiatan pengedaran dadah di Pulau Pinang dalam usaha mengurangkan penagih dadah kerana mereka ini antara penyumbang kepada kes jenayah.

"Ujian air kencing membabitkan pegawai dan anggota polis memang dijalankan secara berkala dan mengejut bagi memastikan pasukan polis bebas daripada dadah. Konstabel yang positif terhadap methamphetamine itu sedang dalam tahan kerja semasa ujian air kencing dijalankan ke atasnya manakala Lans Koperal pula sedang bertugas," katanya.

– BERNAMA

Mohd Shuhaily (dua dari kanan) menunjukkan antara barangan beberapa kes yang dirampas ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Pulau Pinang di sini. - Foto NSTP/Danial Saad
Mohd Shuhaily (dua dari kanan) menunjukkan antara barangan beberapa kes yang dirampas ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Pulau Pinang di sini. - Foto NSTP/Danial Saad
Berita Harian X