KUALA LUMPUR: Alumni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sekali lagi akan menggerakkan Misi Bantuan Kasih bagi membantu mangsa banjir di Selangor selepas berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM90,000.
Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UKM, Prof Ir Dr Mohd Syuhaimi Ab Rahman, berkata sumbangan itu hasil kutipan daripada pelbagai pihak termasuk warga dan alumni UKM serta masyarakat.
"Sebagai universiti watan, kami terpanggil untuk membantu masyarakat yang terkesan. Banyak pusat tanggungjawab dan jabatan menjalankan kerja kesukarelawanan bagi membantu rakan serta masyarakat yang terkesan akibat banjir dan kini giliran Pusat Perhubungan Alumni pula akan menggerakkannya.
"Tabung Misi Bantuan Kasih turut digerakkan bagi misi kali ke-7 tahun ini melalui Pusat Perhubungan Alumni dengan kerjasama Kelab Sukan dan Kebajikan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (KESUTRA) serta Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PERTADI)," katanya dalam satu kenyataan.
Majlis penyerahan sumbangan itu dihadiri Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat) UKM, Prof Datuk Dr Norazah Mohd Nordin serta Timbalan Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UKM, Dr HIlwa Abdullah.
Bagi Tabung Kebajikan Pelajar-Alumni pula, Mohd Syuhaimi berkata, Pusat Perhubungan Alumni akan menyumbang sebanyak RM10,000 kepada Pusat Hal Ehwal Pelajar bagi membantu 50 pelajar yang terkesan banjir dan RM10,000 lagi diberi untuk pembiayaan makanan serta keperluan sukarelawan.
Sementara itu, Norazah merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penyumbang yang sudi tampil membantu mereka yang terkesan akibat banjir.
"Setiap misi yang kita jalankan sentiasa disambut baik oleh alumni dan warga UKM. Semoga dengan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu masyarakat yang memerlukan," katanya.