X
Isnin, 10 Januari 2022 | 7:28pm
Jumlah kematian akibat COVID-19 menurun pada minggu pertama 2022 berbanding minggu sebelumnya. Gambar hiasan Wad Isolasi Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Kuala Lumpur. - Foto NSTP/ASWADI ALIAS
Jumlah kematian akibat COVID-19 menurun pada minggu pertama 2022 berbanding minggu sebelumnya. Gambar hiasan Wad Isolasi Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Kuala Lumpur. - Foto NSTP/ASWADI ALIAS

Kematian turun minggu pertama 2022

KUALA LUMPUR: Minggu Epidemiologi (ME) 1/2022 COVID-19 di antara 1 hingga 8 Januari lalu menunjukkan penurunan kes sebanyak 5.3 peratus, iaitu daripada 23,071 kes kepada 21,859 berbanding ME ke-52, iaitu di antara 25 Disember 2021 hingga 1 Januari 2022.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata purata kes aktif turut mencatatkan penurunan dengan 38,581 kes pada ME 1/2022 berbanding 40,963 pada ME ke-52.

Katanya, penurunan kes dilihat sejam enam minggu lalu, begitu juga kes kematian yang merekodkan penurunan konsisten sebanyak 28.3 peratus dengan 142 kematian, berbanding 198 pada ME ke-52.

"Purata kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) menunjukkan penurunan sebanyak 11.1 peratus, iaitu 226 kes (ME ke-52) kepada 201 kes (ME 1/2022). Penurunan ini dilaporkan sejak sembilan minggu lalu.

"Purata kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan turut menunjukkan penurunan 4.6 peratus, iaitu dari 87 kes (ME ke-52) kepada 83 kes (ME 1/2022).

"Purata ini kekal menunjukkan tren penurunan semenjak 21 minggu yang lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Putrajaya mencatat 100 peratus penggunaan katil ICU COVID-19, manakala empat negeri lain mencatat penggunaan melebihi 50 peratus. - Foto fail NSTP
Putrajaya mencatat 100 peratus penggunaan katil ICU COVID-19, manakala empat negeri lain mencatat penggunaan melebihi 50 peratus. - Foto fail NSTP

Dr Noor Hisham bagaimanapun berkata, purata nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) didapati meningkat sebanyak 3.16 peratus kepada 0.98, berbanding 0.95 pada ME ke-52.

Penggunaan vantilator pula, katanya, menyaksikan trend penurunan dengan ketara sejak 21 minggu lalu.

"Penurunan indikator ini selari dengan peningkatan liputan vaksinasi seluruh negara yang kini mencatat 78.5 peratus populasi keseluruhan lengkap divaksinasi setakat jam 11.59 malam tadi," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 176 daripada 6,158 kluster yang dikenal pasti, masih aktif setakat kelmarin, iaitu penurunan 18.1 peratus berbanding minggu lalu.

"Sebanyak 64 kluster diisytiharkan tamat pada ME 1/2022, sekaligus menjadikan peningkatan kluster tamat sebanyak 60 peratus, berbanding ME ke-52. Namun, terdapat 25 kluster baharu dilaporkan pada ME 1/2022.

"Kluster ini terdiri daripada 11 kluster tempat kerja, import (6), pusat pendidikan (3), kumpulan berisiko tinggi (3) dan dua kluster komuniti," katanya.

Beliau menegaskan, memandangkan sesi persekolahan sudah dibuka semula, peningkatan kluster pendidikan yang terjadi pada minggu lalu perlu diambil serius oleh semua pihak yang terbabit dengan persekolahan.

Dr Noor Hisham berkata, pematuhan SOP serta keselamatan dan kesihatan warga sekolah perlu diberi perhatian yang lebih agar kewujudan kluster baharu pendidikan dapat dicegah.

Pelajar SMK Batu mengimbas suhu badan di pintu masuk sekolah pada tinjauan hari pertama sesi persekolahan, hari ini. - Foto NSTP/ASWADI ALIAS
Pelajar SMK Batu mengimbas suhu badan di pintu masuk sekolah pada tinjauan hari pertama sesi persekolahan, hari ini. - Foto NSTP/ASWADI ALIAS

Berita Harian X