Isnin, 10 Januari 2022 | 4:46pm
Gambar hiasan - FOTO AFP
Gambar hiasan - FOTO AFP

KKM diminta beri penjelasan lanjut isu jemaah umrah tiada vaksinasi

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengembaraan Dan Agensi Pelancongan Selangor (SAFTTA) meminta Kementerian Kesihatan (KKM) memberi penjelasan lanjut berhubung isu 14 peratus jemaah umrah bawah kendalian agensi pelancongan yang dikesan positif Omicron, baru-baru ini, didapati tiada rekod vaksinasi COVID-19.

Presidennya, Dr Fathir Badri Alhadad, berkata berita itu mengejutkan kerana prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kerajaan Arab Saudi memang diketahui amat ketat.

Katanya, semua jemaah umrah perlu mempunyai maklumat jenis vaksin dan tahap kesihatan masing-masing untuk dimasukkan ke dalam aplikasi Muqeem, 72 jam sebelum mereka berlepas.

"Aplikasi itu turut bersambung dengan dua lagi aplikasi, iaitu Tawakkalna serta Eatmarna, yang mana informasinya saling berhubung untuk mendapatkan slot mengerjakan umrah, memasuki Raudhah dan menunaikan solat di Masjidil Haram serta Masjid Nabawi.

"Justeru, perkara dinyatakan itu secara tidak langsung memberi kesan terhadap jemaah umrah berikutan timbul pelbagai tuduhan seperti sanggup menipu dan sebagainya, sehingga menarik perhatian Mufti untuk memberikan pandangan mereka," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Namun jika memang terbukti ia dikendalikan agensi pelancongan, beliau berkata, pihaknya menyokong supaya agensi terbabit diambil tindakan tegas oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

"Lagi lama masa diambil KKM untuk menyiasat perkara ini, dikhuatiri akan lebih buruk persepsi masyarakat terhadap jemaah umrah," katanya.

Berita Harian X