Isnin, 10 Januari 2022 | 2:45pm
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kejadian kemalangan di Jalan Lintas Batu Sapi. - Foto ihsan bomba
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kejadian kemalangan di Jalan Lintas Batu Sapi. - Foto ihsan bomba

Tiga maut, kereta terputus dua

SANDAKAN: Tiga lelaki maut apabila kereta dinaiki mereka terbabas dan terputus dua dalam kejadian kemalangan di Jalan Lintas Batu Sapi ke Batu Lapan, di sini, pagi tadi.

Bagaimanapun, identiti semua mangsa dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu masih belum dapat dikenal pasti.

Difahamkan, semua mangsa menaiki kereta jenis Proton Saga FLX, sebelum dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan terputus dua.

Dua mangsa dilaporkan tercampak keluar daripada kenderaan itu sejurus kemalangan, manakala seorang lagi tersepit sebelum dikeluarkan oleh anggota bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung, berkata pihaknya menerima panggilan jam 11.40 pagi, sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sejurus tiba anggota mendapati berlaku kemalangan membabitkan kenderaan Proton Saga FLX yang dipercayai terbabas.

"Berdasarkan laporan, terdapat tiga mangsa dalam kemalangan itu. Dua mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan oleh orang awam sebelum bomba tiba.

"Seorang lagi mangsa yang tersepit dikeluarkan anggota bomba dan kemudiannya diserahkan kepada polis," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, identiti semua mangsa masih belum dapat dikenal pasti dan operasi tamat sepenuhnya jam 12.06 tengah hari.

Berita Harian X