Isnin, 10 Januari 2022 | 1:16pm
Pelakon Niezam Zaidi (tengah) bersama pengarah filem, Mohd Latiff Zami, 50, (depan) dan penolong pengarah filem, Saiful Zaidrin Ismail, (belakang, dekat pintu) ketika dalam proses membayar denda selepas dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, hari ini. - Foto NSTP/Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Pelakon Niezam Zaidi (tengah) bersama pengarah filem, Mohd Latiff Zami, 50, (depan) dan penolong pengarah filem, Saiful Zaidrin Ismail, (belakang, dekat pintu) ketika dalam proses membayar denda selepas dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, hari ini. - Foto NSTP/Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Niezam Zaidi didenda RM4,000 miliki, salah guna dadah

KUALA KANGSAR: Pelakon Niezam Zaidi didenda RM4,000 atau penjara 10 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan memiliki dan memasukkan dadah ke dalam badan, Oktober tahun lalu.

Majistret Mohd Shazmeer Zamhari turut memerintahkan Niezam atau nama sebenar Muhamad Niezam Mohd Zaidi, 30, menjalani tempoh pengawasan selama dua tahun.

Berdasarkan pertuduhan pindaan yang dibacakan hari ini, Muhamad Niezam didakwa ada dalam milikannya 0.6 gram (g) dadah jenis kanabis di sebuah rumah di Persiaran Jati, Taman Chandan Putri, di sini, kira-kira 7.10 pagi 10 Oktober 2021 iaitu kesalahan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Dia turut dituduh mengikut Seksyen 15 (1) ADB kerana memasukkan dadah ke dalam diri sendiri iaitu dadah berbahaya jenis THC di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar kira-kira jam 9.50 pagi pada tarikh sama.

Bagi kesalahan memiliki dadah, mahkamah menjatuhi hukuman denda RM2,000 atau penjara lima bulan jika gagal membayar denda manakala untuk kesalahan penyalahgunaan dadah, Mohd Shazmeer menetapkan jumlah denda RM2,000 atau penjara lima bulan jika gagal membayar denda, selain menetapkan tempoh pengawasan terhadap Niezam.

Terdahulu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Hennie Suraya Hanafi yang mewakili tertuduh memohon mahkamah meringankan hukuman dengan mengambil kira faktor antaranya pendapatan purata tertuduh kira-kira RM2,500 sebulan yang terjejas teruk berikutan tidak lagi menerima tawaran berlakon disebabkan kes berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Syuhada Muhammad Lutfi, bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh dengan alasan kes ini membabitkan kepentingan awam yang lebih tinggi daripada kepentingan individu tertuduh iaitu bagi memberi pengajaran kepada masyarakat yang mengikuti perkembangan kes.

Sementara itu, mahkamah sama menjatuhkan hukuman denda RM3,800 kepada pengarah filem, Mohd Latiff Zami, 50, dan RM4,000 kepada penolongnya, Saiful Zaidrin Ismail, 47, selepas mereka turut mengaku bersalah masing-masing atas dua tuduhan iaitu memiliki dan memasukkan dadah ke dalam badan.

Majistret memerintahkan Mohd Latiff yang didakwa mengikut Seksyen 6 ADB kerana memiliki 0.2 gram kanabis didenda RM1,800 atau penjara empat bulan jika gagal membayar denda bagi kesalahan itu, selain denda RM2,000 atau penjara lima bulan jika gagal membayar denda serta tiga tahun tempoh pengawasan bagi kesalahan memasukkan dadah THC ke badan.

Bagi Saiful Zaidrin, Mohd Shazmeer menetapkan denda RM2,000 atau penjara lima bulan jika denda gagal dibayar bagi kesalahan memiliki 0.03 gram dadah methamphetamine iaitu mengikut Seksyen 12(2) ADB, selain denda RM2,000 atau penjara lima bulan jika gagal membayar denda serta dua tahun tempoh pengawasan bagi kesalahan memasukkan dadah methamphetamine ke badan.

Kesalahan memiliki dadah yang dilakukan kedua-dua mereka adalah sama sebagaimana masa, tarikh, dan lokasi kesalahan yang dilakukan oleh Muhamad Niezam iaitu di sebuah rumah di Persiaran Jati, Taman Chandan Putri, di sini, kira-kira 7.10 pagi 10 Oktober 2021.

Bagi tuduhan memasukkan dadah ke dalam badan, ketiga-tiga mereka didakwa mengikut Seksyen 15 (1) ADB.

Ketiga-tiga tertuduh membayar denda yang dikenakan.

Berita Harian X