KUALA LUMPUR: Pengurusan pusat beli-belah atau mana-mana bangunan yang menyediakan perkhidmatan eskalator sebagai satu daripada kemudahan awam perlu mengutamakan aspek keselamatan, termasuk kerap membuat pengumuman awam sebagai peringatan berjaga-jaga.
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kejadian kemalangan yang berlaku di Kota Bharu membabitkan seorang kanak-kanak berusia empat tahun baru-baru ini bukanlah yang pertama, sebaliknya kerap berlaku di pusat beli-belah.
Beliau berkata, pihak pengurusan perlu sentiasa peka dan bertanggungjawab memberi kesedaran kepada pengunjung mengenai aspek keselamatan, terutama ketika menggunakan kemudahan eskalator.
"Pengurusan wajib membuat pengumuman awam mengenai langkah keselamatan kepada pengunjung dengan lebih kerap dan bukan hanya ketika bermula operasi atau semasa menutup premis perniagaan.
"Kekerapan pengumuman mengenai keselamatan penggunaan eskalator antaranya mampu mengingatkan pengunjung untuk berhati-hati terutama yang membawa anak kecil," katanya.
BH semalam melaporkan, kejadian detik cemas dilalui seorang kanak-kanak perempuan apabila dua jari kaki kirinya tersepit pada eskalator.
Kejadian di sebuah pasar raya di Kota Bharu kira-kira jam 12.30 tengah hari, ketika kanak-kanak itu bersama ibu bapanya dari aras bawah menaiki eskalator untuk ke tingkat satu.
Lam Thye berkata, kemalangan boleh berlaku di mana-mana saja, namun pengurusan tidak boleh memandang remeh sebaliknya terus meningkatkan aspek keselamatan termasuk memastikan penyelenggaraan kemudahan itu.
"Syarikat yang diberi kontrak untuk menyelenggara eskalator juga perlu bertanggungjawab dengan sentiasa memastikan kemudahan itu digunakan dalam keadaan baik.
"Penyelenggaraan mengikut jadual, selain pemantauan kerap dapat mengelakkan daripada berlakunya kejadian yang tidak diingini" katanya.
Beliau berkata, ibu bapa juga perlu bertanggungjawab dengan memastikan anak mereka tidak bermain di kawasan eskalator kerana banyak kejadian disebabkan terlepas pandang kedudukan anak kecil.
"Selain kempen keselamatan melalui pengumuman awam di pusat beli-belah, ibu bapa juga perlu mendidik anak mereka apabila berada di kawasan itu termasuk memegang tangan orang dewasa dan tidak berdiri di kawasan bahaya.
"Panduan yang diberikan pusat beli-belah atau pasar raya perlu dipatuhi. Jangan ambil ringan mengenai keselamatan apabila menggunakan kemudahan ini. Terlalu banyak kejadian tersepit sehingga ada yang kehilangan jari kaki atau tangan.
"Orang dewasa juga diingatkan untuk tidak leka dengan terlalu fokus menggunakan telefon pintar sewaktu memasuki kawasan itu. Ia bukan saja mengundang kemalangan kecil kepada individu, tetapi orang di sekeliling," katanya.