Ahad, 9 Januari 2022 | 2:32pm

Bayaran inisiatif ringankan beban mangsa banjir bermula esok - PM

BERA: Pembayaran inisiatif bantuan meringankan beban mangsa banjir akan bermula esok, dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) menyalurkan wang itu kepada Pejabat Daerah dan Tanah untuk diserahkan kepada mereka yang terbabit.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata bayaran itu meliputi sumbangan pembelian barangan keperluan berjumlah RM2,500, diskaun baik pulih kenderaan, rebat pembelian barangan elektrik RM500 dan bantuan baik pulih rumah antara RM5,000 hingga RM15,000 bagi kerosakan akibat bencana berkenaan.

"Terdapat tiga kaedah pembayaran iaitu pemberian secara terus dengan menghantar ke rumah, berkumpul di pusat orang ramai seperti dewan dan sebagainya atau dikreditkan terus ke akaun penerima. Kita serahkan kepada pihak daerah untuk berbincang dengan ICU JPM dalam urusan pembayaran.

"Saya mahu pembayaran ini disegerakan dan jangan disulitkan...jangan ada macam-macam borang yang perlu diisi kerana senarai (mangsa banjir) sudah ada, jadi tidak perlu borang.

"Prinsip kita jangan ada kerenah birokrasi yang susah, sebaliknya mudahkan bantuan," katanya.

Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000 daripada kerajaan Pusat dan RM500 sumbangan kerajaan Pahang kepada 478 mangsa banjir daerah Bera, termasuk 45 mangsa banjir gelombang kedua di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini hari ini.

Ismail beramah mesra bersama penerima wang ihsan, pada majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan kepada mangsa banjir parlimen Bera, di Dewan Kovensyen Majlis Daerah Bera. - NSTP/Farizul Hafiz Awang
Ismail beramah mesra bersama penerima wang ihsan, pada majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan kepada mangsa banjir parlimen Bera, di Dewan Kovensyen Majlis Daerah Bera. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Ismail menyampaikan BWI kepada mangsa banjir daerah Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera hari ini. - Foto BERNAMA
Ismail menyampaikan BWI kepada mangsa banjir daerah Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera hari ini. - Foto BERNAMA

Ismail Sabri berkata, kerja pembaikan rumah rosak yang membabitkan baik pulih kontraktor dilantik, sudah mula dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka.

Bagi bantuan baik pulih kenderaan pula, Ismail Sabri berkata, pejabat daerah dan tanah juga diminta menyenaraikan bengkel di kawasan terbabit supaya mangsa banjir tidak perlu 'keluar jauh' bagi mencari pusat servis kenderaan seperti Proton, Perodua atau jenama lain yang mungkin tidak terdapat dalam kawasan mereka.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata, walaupun senarai mangsa banjir sudah ada di tangan pihak menguruskan bantuan, namun jika terdapat individu tercicir, mereka diminta merujuk kepada pejabat daerah, yang juga dipertanggungjawabkan menyiasat jika terdapat unsur penipuan dalam permohonan bantuan.

"Pegawai daerah boleh menyemak dengan ketua kampung yang tahu dan ada senarai rumah siapa yang ditenggelami air atau siapa yang berpindah ke rumah saudara-mara. Jika di pusat pemindahan sementara (PPS) kita sudah ada senarai (mangsa banjir).

"Di kampung kita juga ada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan mereka juga boleh serahkan nama kepada pegawai daerah. Harap mereka dan ketua kampung akan membantu kerajaan mengenal pasti mangsa yang mengalami bencana ini untuk dibantu sebaiknya," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri menyangkal dakwaan sesetengah pihak pelbagai 'bantuan banjir paling banyak dan cepat diberikan' itu sebagai tanda Pilihan Raya Umum (PRU) bakal diadakan dalam masa terdekat.

"Tak ada kena mengena dengan PRU. Apabila rakyat susah, itu tanggungjawab dan kewajipan kerajaan membantu. Ini bukan hanya bantuan daripada kerajaan Persekutuan, tapi kerajaan negeri juga banyak memberi bantuan. Contohnya kerajaan Pahang turut memberikan sumbangan tunai.

Ismail beramah mesra bersama penerima wang ihsan, pada majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan kepada mangsa banjir parlimen Bera, di Dewan Kovensyen Majlis Daerah Bera. - NSTP/Farizul Hafiz Awang
Ismail beramah mesra bersama penerima wang ihsan, pada majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan kepada mangsa banjir parlimen Bera, di Dewan Kovensyen Majlis Daerah Bera. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

"Kita juga terima permohonan beberapa kerajaan negeri yang hendak membantu dalam pembinaan rumah. Kita perlukan bantuan kerana sebagai contoh jika tanah terbabit ialah tanah rizab sungai, kita perlukan kerjasama kerajaan negeri untuk mencari tapak lain supaya tidak risau dilanda banjir setiap tahun," katanya.

Mengulas mengenai pembayaran BWI, Perdana Menteri berkata, proses pembayaran di seluruh negara hampir selesai dengan 42,901 Ketua Isi Rumah (KIR) daripada 45,475 atau 94.3 peratus yang berpindah ke PPS sudah menerima wang itu, manakala bagi yang tidak berpindah ke PPS, pembayaran melibatkan 8,631 (KIR) daripada 9,203 atau 93.8 peratus. - BERNAMA

Berita Harian X