Ahad, 9 Januari 2022 | 8:29am

COVID-19 ragut 11 lagi nyawa

PUTRAJAYA: Sebanyak 11 korban baharu COVID-19, termasuk dua kematian di luar fasiliti kesihatan (BID), dilaporkan setakat tengah malam tadi.

Berdasarkan data menerusi laman sesawang COVIDNOW dan GitHub Kementerian Kesihatan (KKM), perkembangan itu menyumbang kepada sejumlah 31,655 kematian, termasuk 6,386 kes BID, hingga kini.

Selangor mencatat enam korban COVID-19, semalam, di samping masing-masing satu kematian dilaporkan di Kelantan, Perak, Sabah, Sarawak dan Terengganu.

Setakat tengah malam tadi juga, sebanyak 39,776 kes aktif COVID-19 dilaporkan di negara ini.

Daripada jumlah itu, seramai 32,866 individu sedang menjalani kuarantin di rumah; 3,230 berada di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), manakala 3,427 pula kini dirawat di hospital.

Sementara itu, sebanyak 124,994 dos vaksin COVID-19 diberikan, semalam, membabitkan 122,667 dos penggalak, dos pertama (1,241) dan dos lengkap (1,086).

Setakat ini, 87.9 peratus populasi remaja berusia 12 hingga 17 serta 97.7 populasi dewasa sudah lengkap vaksinasi.

Berita Harian X