Sabtu, 8 Januari 2022 | 10:20pm
Bangunan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Kuala Lumpur. - Foto fail NSTP
Bangunan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Kuala Lumpur. - Foto fail NSTP

Laporan polis babit Azam dirujuk SC

KUALA LUMPUR: Laporan polis berhubung pendedahan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sudah dirujuk kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk tindakan selanjutnya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata ia merujuk kepada pendedahan Ketua Pesuruhjaya SPRM membabitkan kebenaran kepada adiknya menggunakan akaun beliau untuk membeli saham.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan. - Foto fail NSTP
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan. - Foto fail NSTP

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sudah menerima laporan berhubung pendedahan dibuat Tan Sri Azam Baki. Laporan polis sudah dirujuk kepada SC," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dipetik berkata laporan polis yang dibuat terhadap Azam berhubung kepentingan dan pemilikan saham dalam beberapa syarikat.

Sebelum ini, beberapa Ahli Parlimen PKR membuat laporan polis terhadap Azam susulan pengakuan akaun sekuriti digunakan adiknya bagi membeli kepentingan dalam beberapa syarikat.

Tan Sri Azam Baki. - Foto fail NSTP
Tan Sri Azam Baki. - Foto fail NSTP

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, turut menuntut supaya Azam direhatkan daripada jawatan sementara siasatan dijalankan.

Pembangkang juga meminta siasatan dilakukan badan bebas seperti Parlimen, PDRM atau Suruhanjaya Siasatan Diraja.

SC turut dilaporkan akan memanggil Azam bagi mendapatkan penjelasan lanjut, selain mengesahkan kenyataan yang dibuat oleh Azam serta mengumpulkan bukti.

Berita Harian X