Sabtu, 8 Januari 2022 | 8:48pm
1,864 babi ternakan di ladang komersial di Paya Mengkuang, Melaka positif ASF dimusnahkan. - Foto hiasan
1,864 babi ternakan di ladang komersial di Paya Mengkuang, Melaka positif ASF dimusnahkan. - Foto hiasan

Demam Babi Afrika jangkiti 16 ladang komersial

MELAKA: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengesahkan penyakit Demam Babi Afrika (ASF) telah menjangkiti 16 ladang babi komersial di Paya Mengkuang di Masjid Tanah, di sini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Dr Norlizan Mohd Noor, berkata bagi mengawal dan mencegah rebakan penyakit ASF, JPV telah menguatkuasakan 'stamping out policy' menerusi pemusnahan babi ladang yang telah disahkan positif ASF.

"Pemusnahan babi itu juga menggunakan kaedah gas CO2 (berkepekatan tinggi) berasaskan garis panduan Kod Amalan Kebajikan Haiwan-Pengurusan Pelupusan Haiwan, sebelum ditanam secara sempurna. \

"Hingga semalam sejumlah 1,864 ekor ternakan babi yang disahkan positif ASF di kawasan Paya Mengkuang itu juga telah dimusnahkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Norlizan berkata aktiviti pemantauan, pemeriksaan klinikal dan persampelan semua ladang ternakan babi di Paya Mengkuang terus aktif dijalankan bagi mengesan jangkitan penyakit ASF di semua 35 ladang babi di kawasan itu.

Beliau berkata aktiviti pemantauan dan pemeriksaan juga diaktifkan membabitkan semua ladang penternakan babi di seluruh negara.

"Penternak dan orang awam diminta segera melaporkan sebarang kematian pada babi hutan, babi kampung atau babi komersial kepada Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah (PPVD) atau Pejabat Perkhidmatan Veterinar Negeri yang berdekatan atau menerusi hotline Bilik Pengurusan Krisis Penyakit, Ibu Pejabat Perkhidmatan Veterinar Putrajaya (03-88702041)," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X