Sabtu, 8 Januari 2022 | 8:40pm
Jawatankuasa Bertindak Pemilik Rumah Teres Kampung Sungai Baru menuntut sesi pendengaran kedua oleh Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWKL) yang dijangka berlangsung pada 19 Januari ini, ditangguhkan. - Foto hiasan NSTP
Jawatankuasa Bertindak Pemilik Rumah Teres Kampung Sungai Baru menuntut sesi pendengaran kedua oleh Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWKL) yang dijangka berlangsung pada 19 Januari ini, ditangguhkan. - Foto hiasan NSTP

Pemilik rumah teres tuntut sesi pendengaran ditangguh

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Bertindak Pemilik Rumah Teres Kampung Sungai Baru menuntut sesi pendengaran kedua oleh Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWKL) yang dijangka berlangsung pada 19 Januari ini, ditangguhkan.

Pengerusinya, Lele Suzana, berkata pihaknya terkejut apabila mendapat tahu sesi berkenaan masih diteruskan meskipun Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim sudah berjanji untuk membantu menangguhkan sesi pendengaran itu.

Beliau ternyata tidak berpuas hati dengan perkara itu sekali gus menuntut Shahidan untuk mengotakan janjinya bagi membantu pemilik rumah teres Kampung Sungai Baru.

"Ini selari dengan janji yang telah dibuat oleh Datuk Seri Dr Shahidan Kassim ketika pertemuan bersama Jawatankuasa Bertindak pada 6 Disember 2021 di pejabat menteri di Dewan Bandar Kuala Lumpur (DBKL).

"Terdapat juga janji yang sama dibuat oleh Menteri Wilayah Persekutuan pada sesi Kamar Khas Parlimen pada 13 Disember 2021.

"Janji Menteri Wilayah Persekutuan mengenai pembangunan semula Kampung Sungai Baru hanya boleh berlaku setelah pemilik dan pemaju bersetuju dengan kadar pampasan dan situasi menang-menang antara kedua belah pihak.

"Namun kami terkejut kerana sesi pendengaran kedua tetap akan diteruskan oleh PTGWPKL sedangkan janji Menteri Wilayah Persekutuan masih belum dilaksanakan. Lebih mengecewakan PTGWPKL mahu meneruskan sesi pendengaran kedua atas desakan pihak pemaju," dakwanya dalam sidang media selepas sesi perbincangan tertutup bersama 37 pemilik rumah teres Kampung Sungai Baru mengenai status pembangunan semula tanah di situ hari ini.

Lele mendakwa kadar pampasan yang ditawarkan syarikat pemaju juga tidak setimpal dan tidak mengikut harga nilaian semasa.

Pihaknya ada melantik jurunilai swasta bagi melakukan penilaian tanah Kampung Sungai Baru dan mendapati nilainya tidak kurang daripada RM1,500 kaki persegi dan tidak termasuk nilaian bangunan di atas tapak tanah.

Beliau juga membandingkan nilai beberapa tanah lot yang di kawasan Kampung Sungai Baru yang pernah dibeli oleh Prasarana bagi pembinaan Transit Aliran Massa (MRT) untuk tujuan penggunaan awam, berharga kira-kira RM1,250 kaki persegi.

"LRT pernah mengambil dua plot tanah di Kampung Sungai Baru dan membayar pemilik teres dengan nilaian lebih kurang RM500 kaki persegi pada akhir tahun 80-an," dakwanya.

Lele juga mendakwa perjanjian usahasama antara pemilik dan pemaju adalah berat sebelah, sekali gus pihaknya menolak tawaran berkenaan meskipun ada penduduk yang sudah menandatangani perjanjian itu.

Selain pampasan tidak setimpal, beliau mempersoal kredibiliti syarikat pemaju yang kononnya mengaku mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam kerja berkaitan pembinaan dan projek memajukan tanah.

"Jenis rumah yang termaktub dalam perjanjian tidak sama dengan jenis rumah dijanjikan. Pemaju menjanjikan kondominium tetapi yang dinyatakan dalam perjanjian adalah pangsapuri.

"Perjanjian usahasama ini jelas menyatakan bahawa pemaju akan membina unit baharu bagi mengaut keuntungan.

"Kami tidak mahu menjadi nasib seperti penduduk di Kerinchi yang diambil kediaman mereka bagi projek pembangunan semula dan akhirnya terjadi penempatan dua darjat antara golongan mewah dan marhaen," dakwanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilik Rumah Teres Kampung Sungai Baru, Saiful Azhar Ibrahim berharap campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dalam isu dihadapi penduduk.

Beliau berkata hanya kedua-dua pemimpin itu sajalah dapat hentikan kemelut yang penduduk alami ketika ini.

Berita Harian X