Sabtu, 8 Januari 2022 | 8:28pm
Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad (tengah) bersama Pegawai Daerah Muar Mustafa Kamal Shamsudin (dua, kiri) beramah mesra bersama remaja ketika melawat mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kompleks Sukan Pagoh hari ini. - foto hiasan BERNAMA
Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad (tengah) bersama Pegawai Daerah Muar Mustafa Kamal Shamsudin (dua, kiri) beramah mesra bersama remaja ketika melawat mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kompleks Sukan Pagoh hari ini. - foto hiasan BERNAMA

43 kes penyakit berjangkit dalam kalangan mangsa banjir

KUALA LUMPUR: Sebanyak 43 kes penyakit berjangkit dikesan dalam kalangan mangsa banjir, semalam menjadikan jumlah kes berkenaan yang direkodkan setakat ini 2,402 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah kes baharu itu, 35 kes adalah Jangkitan Saluran Pernafasan Akut (ARI), yang kini menjadikan jumlah keseluruhan penyakit itu dalam kalangan mangsa banjir adalah sebanyak 1,488 kes.

Tujuh kes lagi adalah Acute Gastroenteritis, menjadikan keseluruhan 285 kes penyakit itu setakat ini.

Selain itu katanya, terdapat pertambahan satu kes penyakit kulit, menjadikan jumlah keseluruhan kes adalah 607 kes, manakala kes Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) dan Konjunktivitis masing-masing kekal enam dan 16 kes.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan, terdapat satu kes baharu COVID-19 membabitkan mangsa banjir yang dikesan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif dalam mereka adalah 466 kes.

Beliau turut memaklumkan, tiada kes baharu akibat wabak itu yang dikesan dalam kalangan mangsa banjir di 58 pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi di Pahang, Melaka dan Johor, dan jumlah kes di PPS kekal 15.

"Kementerian Kesihatan (KKM) akan sentiasa memantau dan menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan sebaik-baiknya asupaya penyakit berjangkit akibat bencana banjir terutama COVID-19 dapat dibendung," katanya.

Berita Harian X