Sabtu, 8 Januari 2022 | 7:22pm
Untuk memastikan SPRM berkesan, ia perlu beroperasi secara bebas, Wan Junaidi. - Foto hiasan
Untuk memastikan SPRM berkesan, ia perlu beroperasi secara bebas, Wan Junaidi. - Foto hiasan

Bukan mudah letakkan SPRM bawah Parlimen

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu membuat kajian mendalam sebelum menerima cadangan pelbagai pihak untuk meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah seliaan Parlimen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata usaha itu bukan satu perkara mudah untuk dilakukan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. - Foto BERNAMA
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. - Foto BERNAMA

"Untuk memastikan SPRM berkesan, ia perlu beroperasi secara bebas. Penubuhan SPRM dibawah Akta SPRM 2009 (Akta 694) untuk memastikan kebebasan suruhanjaya dan ini tidak boleh dikompromi dalam apa cara sekalipun," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas gesaan pelbagai pihak yang mencadangkan supaya SPRM diletakkan dibawah seliaan Parlimen, dengan pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu ditentukan oleh Jawatankuasa Khas Parlimen, sebelum dipilih oleh 222 Ahli Parlimen.

Langkah itu disifatkan pelbagai pihak sebagai bukti kesungguhan kerajaan untuk melaksana agenda pembaharuan institusi Parlimen, seiring dengan Memorundum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata, kerajaan memberi jaminan siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkait isu pemilikan sahamnya di syarikat senaraian awam akan dilakukan mengikut lunas undang-undang.

Tan Sri Azam Baki. - Foto fail NSTP
Tan Sri Azam Baki. - Foto fail NSTP

Kes Azam itu kini sedang disiasat oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain pandangan daripada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) juga akan diambil kira.

"Saya sedar ramai menuntut tindakan diambil terhadap Azam. Bagaimanapun, saya ingin mengingatkan semua, perkara ini masih dalam siasatan dan kita hanya boleh membuat keputusan berhubung perkara itu selepas selesai siasatan oleh SC dan PDRM.

"Sementara siasatan ini diselesaikan, saya berharap semua pihak bertenang kerana kami sedang berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikannya dengan cara yang terbaik," katanya.

Mengenai pemilikan saham Azam dalam syarikat senaraian awam itu, beliau berkata ketika saham itu mula dibeli, satu juta saham itu hanya bernilai RM330,000, atau kira-kira 30 sen hingga 33 sen sesaham dan saiz saham dipegangnya sudah terkumpul sejak bertahun-tahun.

"Berdasarkan harga awal, bukan saham yang mahal untuk diperoleh. Saya percaya ia mampu dimiliki oleh kebanyakan kita. Bagi peniaga pasaran saham yang aktif, ini perkara biasa untuk meningkatkan pegangan saham secara beransur-ansur dari semasa ke semasa terutamanya apabila kamu melihat potensinya," katanya.

Katanya, ketika ini juga, tiada undang-undang atau peraturan yang menghalang mana-mana penjawat awam daripada memperoleh saham dalam syarikat senaraian awam.

"Di bawah Akta Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, kakitangan kerajaan hanya dilarang berdagang dalam pasaran niaga hadapan dalam dan luar negara, sementara mereka yang memiliki saham dalam syarikat senaraian awam dikehendaki mengisytiharkannya sebagai aset," katanya.

LPPR, satu daripada lima badan pemantau bebas SPRM sebelum ini mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau percanggahan kepentingan membabitkan Azam dalam urus niaga saham pada 2015.

Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang, memaklumkan LPPR dalam mesyuarat khas pada 24 November lalu mendapatkan penjelasan Azam dan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu menjelaskan bahawa akaun sahamnya digunakan oleh adiknya, Datuk Nasir Baki, untuk membeli saham pada 2015.

Azam pada sidang media berasingan pada Rabu lalu, turut menafikan sekeras-kerasnya tuduhan beliau mempunyai kawalan ke atas beberapa syarikat termasuk syarikat konglomerat dan menyifatkan tuduhan itu sebagai satu penipuan besar pihak tertentu untuk memberi persepsi negatif yang direka bagi menjatuhkan reputasinya dan SPRM.

Azam dilanda kontroversi berhubung dakwaan pemilikan saham di dua syarikat pada 2015. Berdasarkan laporan tahunan Excel Force Bhd 2015, Azam memiliki 2,156,000 waran dalam syarikat itu setakat 21 Mac 2016. Ketika itu, Azam adalah Pengarah Bahagian Siasatan SPRM.

Berita Harian X