Sabtu, 8 Januari 2022 | 5:47pm
Mesyuarat Khas Persidangan Agung PBM hari ini melantik Ahli Parlimen Julau, Larry Sng sebagai Presiden baharu. - Foto FB PBM
Mesyuarat Khas Persidangan Agung PBM hari ini melantik Ahli Parlimen Julau, Larry Sng sebagai Presiden baharu. - Foto FB PBM

2 ADUN Perak antara pemimpin BERSATU sertai PBM

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Julau, Larry Sng dipilih sebagai Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) dalam Mesyuarat Khas Persidangan Agung parti itu, hari ini.

Larry yang sebelum ini Timbalan Presiden PBM, memaklumkan mesyuarat itu diadakan bagi memenuhi kehendak Pendaftar Pertubuhan (ROS) seperti yang termaktub dalam Perlembagaan PBM susulan peletakan jawatan pemegang jawatan utama parti itu, sebelum ini.

"Seluruh pimpinan, perwakilan dan pemerhati PBM menyatakan hasrat untuk mendukung kepemimpinan kerajaan yang memerintah hari ini dan berusaha keras memastikan agenda PBM dalam mengangkat hasrat rakyat pelbagai kaum dan berbilang bangsa dilaksanakan selepas ini," katanya melalui kenyataan di Facebook PBM.

Berdasarkan senarai kepemimpinan baharu PBM, jawatan Timbalan Presiden 1 disandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya yang juga bekas Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha dan Naib Presiden 2 ialah Wong Judat.

Dua ADUN Perak yang menyertai BERSATU pada tahun lalu turut tersenarai dalam kepemimpinan baharu itu iaitu ADUN Buntong, A Sivasubramaniam yang dilantik sebagai Naib Presiden Kanan 2 dan ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong (Bendahari Agung).

PBM yang sebelum ini dikenali sebagai Parti Pekerja Sarawak (SWP), mendapat kelulusan ROS bagi penukaran nama dan perlembagaan baharunya pada 27 Oktober tahun lalu.

Parti itu mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 14 November lalu dan barisan kepemimpinan baharu juga dilantik. Sebelum ini, Presiden PBM ialah Mohamad Sukri Yusri.

Larry ialah bekas Pengerusi PKR Sarawak dan bekas Presiden SWP yang diasaskan bapanya, ahli politik veteran Sarawak, Datuk Sng Chee Hua bersama sekumpulan bekas ahli Parti Rakyat Sarawak (PRS) pada tahun 2012.

Sebelum ini, timbul desas desus Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamarudin akan menerajui parti berkenaan.

Berita Harian X