Sabtu, 8 Januari 2022 | 3:33pm
Gambar hiasan. Jemaah mengerjakan umrah.
Gambar hiasan. Jemaah mengerjakan umrah.

Pengendali umrah patuh SOP

KUALA LUMPUR: Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menyangkal dakwaan ada jemaah umrah yang tidak lengkap divaksin sehingga dijangkiti COVID-19 varian Omicron.

Naib Presiden Umrah dan Haji MATTA, Mohd Azri Abd Razak, menyifatkan perkara itu mustahil berlaku kerana pengendali umrah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kerajaan Arab Saudi.

Katanya, antara SOP bagi perjalanan umrah adalah jemaah perlu menunjukkan bukti status lengkap vaksinasi dan menyatakan jenis vaksin diambil ketika membuat tempahan tiket penerbangan.

Beliau berkata, kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, mengenai isu itu, mempunyai implikasi yang serius terhadap sistem visa Kerajaan Saudi, sekali gus memburukkan pandangan masyarakat terhadap penggiat industri umrah di negara ini.

"MATTA meminta kementerian menyiasat perkara ini dan tidak menuding jari kepada syarikat pengendali umrah.

"Kaunter imigresen dan kawalan keselamatan di lapangan terbang adalah tempat semakan terakhir status vaksinasi bagi pelancong atau jemaah ke luar negara.

"Justeru, pihak yang terbabit harus dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya dalam kenyataan media.

Sebelum ini, KKM mengesan ketidakpatuhan kepada SOP membabitkan jemaah umrah apabila 14 peratus daripada 122 kes Omicron yang pulang ke tanah air setakat Selasa lalu, didapati tidak menerima suntikan vaksin.

Khairy dalam sidang media di Parlimen berkata, pihaknya sedang menyiasat sama ada mereka tidak divaksinasi disebabkan isu kesihatan atau kerana enggan menerimanya.

Mengenai penangguhan umrah sementara berkuat kuasa hari ini hingga 8 Februari, Mohd Azri berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan semula langkah itu kerana ia memberi kesan negatif kepada agensi pelancongan dan jemaah sendiri.

Beliau berkata, penangguhan itu menyebabkan pakej umrah sedia ada perlu dikaji semula kerana akan membabitkan kos tambahan yang perlu ditanggung agensi pelancongan mahupun jemaah pada masa akan datang.

"MATTA sarankan Menteri Kesihatan mempertimbangkan semula pelaksanaan penangguhan umrah.

"Kerajaan juga harus bertanggungjawab di atas kerugian terpaksa ditanggung jemaah yang sedang menunggu giliran untuk menunaikan umrah" katanya.

Mohd Azri berkata, MATTA bersedia bertemu KKM atau pihak berwajib untuk sama-sama berbincang dan mencari jalan terbaik supaya penularan Omicron dapat dikurangkan dan pada masa yang sama, memastikan punca pendapatan agensi pelancongan tidak terkesan.

Berita Harian X