Sabtu, 8 Januari 2022 | 12:15pm
Penduduk sekitar Kampung Tersang dan Kampung Lanchang di Rantau Panjang terpaksa membina rumah tinggi memandangkan lokasi itu kerap dilanda banjir.
Penduduk sekitar Kampung Tersang dan Kampung Lanchang di Rantau Panjang terpaksa membina rumah tinggi memandangkan lokasi itu kerap dilanda banjir.

Penduduk pilih rumah bertiang elak banjir

Tumpat: Sebahagian besar penduduk di Pengkalan Kubor, di sini memilih untuk membina kediaman yang bertiang bagi mengelakkan banjir berikutan kawasan berkenaan sering dilanda bencana itu dan berdekatan Sungai Golok.

Malah, mereka berpendapat pembinaan rumah bertiang juga boleh menjadi tempat berlindung jika tidak mahu berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) setiap kali banjir, melainkan berlakunya banjir teruk.

Bagi penduduk Kampung Derdap, Ariffin Awang Chik, 61, sejak lebih 50 tahun menetap di kampung itu, mereka sekeluarga tidak pernah berpindah ke mana-mana lokasi perlindungan meskipun kedudukan rumahnya kira-kira 50 meter dari Sungai Golok.

"Setiap tahun air Sungai Golok melimpah dan ditambah dengan fenomena air pasang yang menjadikan berlaku kenaikan air di pekarangan rumah mencecah 0.7 meter di luar rumah.

"Setiap tahun memang akan terkesan banjir tapi saya sembilan beranak tidak pernah berpindah kerana walaupun berlaku banjir besar seperti bah kuning pada 2014, air hanya beberapa inci sahaja lagi nak masuk rumah," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Ariffin berkata, majoriti penduduk di lebih 10 kampung di Pengkalan Kubor yang sering dilanda banjir mempunyai bot atau perahu bagi kegunaan sepanjang musim tengkujuh sekali gus tidak menimbulkan masalah langsung jika ditimpa banjir.

Seakan sudah arif mengenai pola banjir terutama fenomena banjir termenung yang dialami setiap tahun, Ariffin berkata, penduduk membina rumah yang tinggi walau kecil bagi mengelakkan mereka berpindah ke PPS atau menumpang mana-mana lokasi selamat lain.

"Bukan sengaja kami enggan ke PPS tapi memikirkan faktor keselesaan serta bimbang rumah dipecah masuk menyebabkan kami bertahan di kediaman masing-masing tambahan pula setakat ini belum lagi situasi luar kawalan banjir," katanya sambil memberitahu baru membeli bot untuk kegunaan pergerakan banjir sekiranya melanda dalam masa terdekat.

Penduduk Kampung Tersang, Rantau Panjang, Msyida Musa, 43, pula berkata situasi banjir yang kerap melanda menyebabkan limpahan air sehingga ke dalam rumah menyebabkan dia membina rumah sedikit tinggi.

Terletak di antara Sungai Golok dan Sungai Lanchang, kedudukan kediamannya sentiasa menjadi 'mangsa' limpahan air yang bertembung menyebabkan berlaku kenaikan paras air meskipun lokasi itu sudah ditimbun tanah.

"Jika limpahan berlaku tidak serius, kami tetap berada di rumah namun sekiranya tidak terkawal, saya akan berpindah selain perlu membawa anak, Mohd Haziq Iman Hasyim, 10, yang menghidap kencing manis kronik kerana bimbang apa-apa berlaku.

"Ketika gelombang pertama dan kedua baru-baru ini memang kami berpindah ke PPS kerana walaupun dalam rumah hanya sedikit air masuk ke ruang dapur, demi keselamatan nyawa anak yang sakit, saya memutuskan untuk berpindah," katanya.

Msyida menunjukkan rumah yang dibina lebih tinggi bagi mengelak ditenggelami air.
Msyida menunjukkan rumah yang dibina lebih tinggi bagi mengelak ditenggelami air.

Berita Harian X