Sabtu, 8 Januari 2022 | 12:09pm
Azam Baki.
Azam Baki.

Tubuh badan bebas siasat tuduhan ke atas Azam Baki

Kuala Lumpur: Pelbagai pihak mendesak isu pemilikan saham yang dikaitkan dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki disiasat sebuah badan bebas demi menjaga kredibiliti SPRM sebagai institusi terpenting dalam negara.

Pada masa yang sama, mereka mahu kerajaan mempercepatkan agenda pembaharuan institusi lebih menyeluruh dengan meletakkan SPRM di bawah seliaan Parlimen dan dijadikan satu institusi bebas.

Antara yang menyuarakan desakan meliputi parti politik, pemimpin pembangkang dan badan berkaitan integriti.

Dalam satu kenyataan semalam, Majlis Presiden PH berkata, Azam serta Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang perlu disiasat oleh sebuah badan bebas dan kedua-duanya harus direhatkan sementara siasatan berjalan.

"Kami tidak dapat menerima kenyataan Ketua Pesuruhjaya dan Pengerusi LPPR semalam (kelmarin) kerana kenyataan Ketua Pesuruhjaya menunjukkan kemungkinan telah berlaku pelanggaran undang-undang dan percanggahan kepentingan melibatkan akaun saham beliau yang diguna untuk membeli berjuta saham bagi pihak adiknya.

"Ini membabitkan undang-undang, khususnya Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 serta isu punca dana yang diguna untuk pembelian jutaan saham ini," kata kenyataan itu, semalam.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng serta Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Madius Tangau.

Mereka juga berpandangan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Ketua Majlis Parlimen harus memanggil sidang khas Parlimen bagi menjelaskan keadaan sebenar berhubung isu saham Azam.

Katanya, Pengerusi LPPR pula dengan begitu mudah mengiyakan penjelasan berkenaan, biarpun siasatan lebih terbuka dan menyeluruh seharusnya dilakukan kerana membabitkan dakwaan pembelian saham bernilai jutaan ringgit dalam syarikat tersenarai di Bursa Malaysia.

"Malah, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sudah mengeluarkan kenyataan akan mendapatkan penjelasan dari beberapa pihak termasuk Azam tentang perkara ini demi mengekalkan keyakinan pelabur asing terhadap pasaran dana di Malaysia," katanya sambil menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga perlu membuka kertas siasatan untuk menyiasat sekiranya berlaku sebarang pelanggaran undang-undang seperti didakwa pelbagai pihak.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki pula berkata, pembaharuan institusi perlu dilaksanakan yang antara lainnya memberikan kuasa pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM sebagai hak prerogatif Parlimen.

Katanya, ia boleh dilakukan selepas proses tapisan terperinci atau due deligence dijalankan sebelum dibawa ke Jawatankuasa Khas Parlimen mengenai calon berkelayakan.

Katanya, langkah itu juga bagi mengelakkan wujudnya campur tangan pihak eksekutif sebagaimana amalan ketika ini berdasarkan Seksyen 5 Akta SPRM 2009 yang menyatakan Ketua Pesuruhjaya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

"Dengan pembaharuan ini, juga bermakna perkhidmatan Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak sesekali mampu dipengaruhi unsur politik seperti pernah berlaku dalam pemerintahan PH terdahulu.

"Ini apabila sebelum ini bekas Ahli Pimpinan Tertinggi PKR, Latheefa Koya juga pernah dilantik Ketua Pesuruhjaya SPRM hanya selepas Perdana Menteri kelapan daripada PH mengambil alih kerajaan," katanya menerusi hantaran di laman Facebook miliknya semalam.

Mengenai kenyataan LPPR yang berpuas hati dengan penjelasan Azam, Asyraf berkata, ia masih tidak meredakan persepsi negatif rakyat terhadap tahap integriti dan ketelusan SPRM.

Katanya, kenyataan SC yang menuntut penjelasan lanjut berasaskan kenyataan Ketua Persuruhjaya SPRM menyerlahkan lagi keperluan siasatan bebas lebih terperinci memandangkan di bawah Seksyen 25 (4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA), hanya pemilik akaun sekuriti dibenarkan memiliki saham.

Azam pada sidang media pada Rabu berkata, dalam penjelasannya kepada panel LPPR, akaun saham beliau digunakan oleh adiknya Nasir Baki untuk membeli saham-saham di pasaran terbuka dengan pembiayaan sendiri.

Azam juga menafikan sekeras-kerasnya tuduhan beliau mempunyai kawalan ke atas beberapa syarikat, termasuk syarikat konglomerat.

Beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai satu penipuan besar pihak tertentu untuk memberi persepsi negatif yang direka bagi menjatuhkan reputasinya dan SPRM.

SC dalam kenyataan kelmarin menyebut, pihaknya akan mendapatkan penjelasan daripada Azam selain mengesahkan kenyataan yang dibuat serta mengumpulkan bukti berkaitan akaun dagangan saham miliknya yang digunakan oleh adiknya bagi pembelian saham pada 2015.

Menurut kenyataan SC, di bawah Seksyen 25 SICDA, setiap akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mesti menggunakan nama pemilik manfaat sekuriti yang dideposit atau atas penama yang diberi kuasa atau dibenarkan.

Dalam nada sama, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, siasatan badan bebas terhadap isu pemilikan saham oleh Azam itu sangat penting bagi memastikan tuduhan-tuduhan berkenaan tidak berpanjangan sehingga menjejaskan kredibiliti SPRM yang dianggap institusi terpenting dalam negara.

"Saya amat berharap semua pihak ketepikan dulu pandangan bersifat politik sebaliknya pastikan isu ini diselesaikan dalam cara paling dipercayai rakyat.

"Di pihak SPRM, usahlah bersifat defensif manakala orang politik jangan ofensif. Perlu ada siasatan lebih mendalam dengan cara yang membolehkan rakyat percaya dengan hasil siasatan," katanya ditemui pemberita di Kubang Pasu, Kedah, semalam.

Sementara itu, Pesuruhjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod turut menyokong cadangan supaya SPRM diletakkan di bawah Parlimen.

Katanya, SPRM boleh diletakkan di bawah jawatankuasa khas Parlimen yang merentas parti yang akan bertanggungjawab dalam aspek kawal selia secara pentadbiran, termasuk mencadangkan calon bakal Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Ia bagaimanapun memerlukan masa kerana Akta SPRM 2009 perlu dipinda terlebih dahulu," katanya ketika dihubungi BH.

Beliau berkata, sekiranya perkara itu menjadi kenyataan, lima jawatankuasa pemantau bebas sedia ada yang dilantik SPRM ketika ini tidak perlu dihapuskan, sebaliknya dikekalkan sebagai mekanisme 'semak dan imbang' kepada suruhanjaya itu.

"Timbul isu di mana seharusnya SPRM diletakkan terus menjadi polemik berterusan sejak ditubuhkan dan pernah diletakkan di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kemudiannya di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

"Isunya, adakah kebebasan akan timbulkan kalau suruhanjaya itu diletakkan di bawah badan eksekutif? Itu yang dicadangkan ramai pihak, malah dicadangkan sendiri oleh Transparency International (TI) supaya SPRM diletakkan di bawah Parlimen.

"Saya setuju sebab SPRM tugasnya amat sensitif dan ia melangkaui semua bidang kuasa eksekutif, kehakiman dan perundangan," katanya.

Di bawah SPRM ketika ini, terdapat lima panel bebas dilantik suruhanjaya itu dalam usaha melahirkan sebuah negara bebas rasuah.

Ia adalah Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) dan Jawatankuasa Aduan (JKA) dibuat melalui peruntukan undang-undang.

Pembentukan Panel Penilaian Operasi (PPO) serta Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) pula dibuat secara pentadbiran.

Berita Harian X