Sabtu, 8 Januari 2022 | 12:15am
Duta Jepun Ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko. - Foto fail NSTP
Duta Jepun Ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko. - Foto fail NSTP

Jepun mahu berkongsi pengalaman, kepakaran urus risiko bencana

KUALA LUMPUR: Kerajaan Jepun menyatakan hasrat berkongsi pengalaman dan kepakaran di bidang pengurusan risiko bencana dengan Malaysia dalam usaha mengurangkan kesan bencana ke atas manusia di peringkat global.

Duta Besar Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko berkata, Negara Matahari Terbit itu berharap untuk membangunkan kerjasama selanjutnya dengan Malaysia dalam bidang pengurusan risiko bencana yang akan menjadi tonggak penting kerjasama antara kedua-dua negara.

"Seperti banjir besar yang melanda Malaysia baru-baru ini, saya harap kita dapat menjalin kerjasama lebih lanjut memandangkan kerajaan Jepun giat berkongsi pengalaman dan kepakaran sedemikian di peringkat global dalam usaha mengurangkan kesan bencana kepada rakyat di seluruh dunia," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Misi Bantuan Pascabanjir Kedutaan Jepun dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di Pusat Pelancongan Malaysia di sini hari ini.

Takahashi berkata, penilaian lanjut diperlukan untuk mewujudkan strategi jangka panjang dalam kerjasama pengurusan risiko bencana antara kedua-dua negara.

"Masih terlalu awal untuk menyatakan secara khusus apa yang kita (kerajaan Jepun) boleh tawarkan... Kita perlu berbincang dengan kerajaan Malaysia bagi mengetahui apa yang boleh dilaksanakan di sini," katanya.

Sementara itu, Takahashi berkata, Malaysia dan Jepun sudah melalui hubungan dua hala yang sangat baik melalui Dasar Pandang ke Timur yang akan menyambut ulang tahun ke-40 tahun ini.

Beliau berkata, dasar berkenaan menyediakan peluang untuk mengeratkan lagi hubungan menerusi program latihan dan interaksi di peringkat akar umbi serta pertukaran budaya dalam kalangan rakyat Malaysia dan Jepun.

"Saya yakin hubungan ini terus berkembang pada tahun mendatang dan saya tidak sabar-sabar untuk berbincang dengan rakan-rakan Malaysia cara meningkatkan hubungan ini untuk generasi masa depan," katanya.

Takahashi menghadiri majlis Misi Bantuan Pascabanjir iaitu kerjasama antara Kedutaan Jepun dan MOTAC, Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun, Alumni Program Persahabatan ASEAN-Jepun Abad Ke-21 Malaysia dan Homestay Malaysia.

Misi yang dirasmikan oleh Takahashi dan Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Noor Zari Hamat telah mengumpul sejumlah RM150,000 dan akan diagihkan dalam bentuk wang tunai dan bantuan banjir di lapan lokasi di Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan pada esok dan Ahad. – BERNAMA

Berita Harian X