Jumaat, 7 Januari 2022 | 11:35pm
Anek Along, 59, meninggal dunia selepas dibaham seekor harimau dalam kejadian di Kampung Sau, Pos Bihai di sini, hari ini. - FOTO PDRM
Anek Along, 59, meninggal dunia selepas dibaham seekor harimau dalam kejadian di Kampung Sau, Pos Bihai di sini, hari ini. - FOTO PDRM

Lelaki Orang Asli maut dibaham harimau

GUA MUSANG: Polis mengesahkan Orang Asli yang maut dibaham harimau dalam kejadian di Kampung Sau, Pos Bihai, di sini, dikenali sebagai Anek Along.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) pada jam 1.30 tengah hari.

Sebelum kejadian, beliau berkata, mangsa berusia 59 tahun dilaporkan sedang menumbuk padi huma bersama anak perempuannya di belakang rumah mereka kira-kira jam 9.10 pagi.

"Bagaimanapun, ketika sedang menumbuk padi huma, anak perempuan mangsa mendapati ayahnya sudah tiada dan dia cuba memanggil bapanya itu sebanyak beberapa kali sebelum mencari di belakang rumah.

"Anak mangsa kemudian menemukan kesan darah pada daun-daun pokok dan segera memanggil orang kampung untuk mencari bapanya," katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Choon Foo berkata, berdasarkan kesan darah itu, penduduk kampung berjumpa dengan harimau terbabit sebelum membaling lembing ke arah haiwan berkenaan.

"Harimau berkenaan lari dan orang kampung bergegas melaporkan perkara itu kepada pihak PERHILITAN yang berada di Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai.

"Pihak kami tiba di tempat kejadian pada jam 5.40 petang dan mayat mangsa dibawa keluar menggunakan kenderaan pasukan untuk dihantar ke Hospital Gua Musang," katanya.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, seramai 12 kakitangannya yang sedang berada di Kampung Tendrik, Pos Bihai bergegas ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan kejadian itu.

"Semua penduduk diarahkan berada di dalam rumah masing-masing demi keselamatan mereka. Pada jam 12.15 tengah hari, kakitangan kami terserempak dengan harimau belang yang berada berhampiran dengan mangsa dan terpaksa melepaskan tembakan kerana harimau belang itu meluru ke arah mereka," katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan luaran ke atas harimau belang jantan yang dianggarkan berusia tiga tahun dengan berat 120 kilogram (kg) itu tidak mempunyai sebarang kesan jerat dan hanya mengalami luka di bahagian muka dipercayai akibat luka terkena lembing penduduk kampung ketika terserempak dengan haiwan itu.

"Bangkai harimau belang itu dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Katanya, pihaknya sedang menjalankan pemantauan dan kawalan di kawasan perkampungan Orang Asli Pos Bihai berikutan terdapat tiga ekor harimau belang yang berkeliaran di kawasan berkenaan sejak 10 Disember tahun lalu.

"Pihak kami, sudah memasang tiga perangkap harimau belang iaitu dua di Kampung Tendrik dan satu di Kampung Hak, Pos Bihai," katanya.

Berita Harian X