Jumaat, 7 Januari 2022 | 12:49pm
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki

Pemuda UMNO mahu SPRM segera diletak bawah Parlimen

KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO mahu agenda pembaharuan institusi dipercepatkan dengan meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah seliaan Parlimen.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pembaharuan itu antara lainnya memberikan kuasa pelantikan Ketua Pesuruhjaya sebagai hak prerogatif Parlimen selepas proses tapisan terperinci 'due deligence' dijalankan dan dicadangkan oleh Jawatankuasa Khas Parlimen mengenai calon berkelayakan.

Katanya, ia juga bagi mengelakkan wujud campur tangan pihak eksekutif sebagaimana amalan ketika ini berdasarkan Seksyen 5 Akta SPRM 2009 yang menyatakan Ketua Pesuruhjaya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

"Dengan pembaharuan ini juga bermakna perkhidmatan Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak sesekali mampu dipengaruhi unsur politik sebagaimana pernah berlaku dalam pemerintahan Pakatan Harapan (PH) terdahulu.

"Ini apabila sebelum ini bekas Ahli Pimpinan Tertinggi PKR, Latheefa Koya juga pernah dilantik Ketua Pesuruhjaya SPRM hanya selepas Perdana Menteri kelapan daripada PH mengambil alih kerajaan," katanya di Facebook hari ini.

Asyraf berkata, Pemuda UMNO berpandangan hanya dengan menyegerakan agenda pembaharuan institusi, meletakkan SPRM di bawah Parlimen akan mengelakkan sebarang persoalan negatif berkaitan integriti dan ketelusan membabitkan badan terpenting untuk menangani jenayah rasuah.

Katanya, ia sekali gus mampu mengembalikan keyakinan rakyat dan persepsi pelabur pada negara.

Sementara itu, mengulas mengenai hasil siasatan Pengerusi Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) yang berpuas hati dengan penjelasan Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki bahawa akaun dagangan miliknya digunakan adiknya untuk memperoleh jutaan saham, beliau berkata ia masih tidak meredakan persepsi negatif rakyat terhadap tahap integriti dan ketelusan SPRM.

Katanya, kenyataan Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang menuntut penjelasan lanjut berasaskan kenyataan Ketua Persuruhjaya SPRM pula, menyerlahkan lagi keperluan siasatan bebas lebih terperinci memandangkan di bawah Seksyen 25 (4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA), hanya pemilik akaun sekuriti dibenarkan memiliki saham.

Azam dalam satu sidang media khas pada Rabu lalu menafikan sekeras-kerasnya tuduhan beliau mempunyai kawalan ke atas beberapa syarikat termasuk syarikat konglomerat.

Beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai satu penipuan besar pihak tertentu untuk memberi persepsi negatif yang direka bagi menjatuhkan reputasinya dan SPRM.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap akaun media sosial Edisi Siasat yang sejak beberapa bulan lalu mendakwa berlaku salah laku membabitkannya.

Berita Harian X