Jumaat, 7 Januari 2022 | 11:13am

700,000 pengundi muda Johor ubah lanskap politik

JOHOR BAHRU: Sebanyak 706,082 orang muda yang membawa pertambahan hampir 40 peratus pengundi baharu di negeri ini dengan langkah kerajaan Johor meluluskan pindaan enakmen membolehkan had umur calon ahli dewan undangan negeri (ADUN) diturunkan kepada 18 tahun, semalam.

EXCO Pemuda UMNO Malaysia, Hafiz Ariffin, berkata kelulusan pindaan itu melengkapkan usaha Kerajaan Persekutuan di samping menyambut hasrat orang muda untuk mengambil bahagian dalam proses demokrasi negara dan negeri dengan lebih inklusif dan progresif.

Katanya, pihaknya amat meraikan dan menyambut baik landskap baharu itu yang bakal menggalakkan lebih ramai penyertaan anak muda dalam politik.

"Dengan pindaan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 (Pindaan) 2021 itu turut akan membolehkan pelaksanaan UNDI 18.

"Di Johor langkah itu membawa penambahan sebanyak 706,082 pengundi muda yang membawa penambahan hampir 40 peratus pengundi baharu yang akan layak mengundi menjelang Pilihan raya umum (PRU) nanti.

"Dari jumlah keseluruhan pengundi, penambahan ini akan memberi kesan signifikan kepada pola pengundian pada PRU akan datang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor meluluskan pindaan Enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 (Pindaan) 2021 bagi menurunkan kelayakan umur daripada 21 kepada 18 tahun untuk individu bertanding sebagai calon di kerusi DUN pada pilihan raya.

Johor menjadi negeri terbaharu yang membenarkan belia berusia 18 tahun bertanding sebagai calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada pilihan raya akan datang.

Dalam pada itu, Hafiz yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Sembrong berkata, dengan pindaan enakmen itu yang sudah dilakukan semua negeri kecuali Melaka itu adalah isyarat kepada parti politik tanah air.

"Parti politik negara perlu menyesuaikan syarat keahlian dan operasi parti bagi membuka pintu dan ruang kepada generasi baru menyertai bersama mencorak landskap politik semasa tanah air," katanya

Berita Harian X