Jumaat, 7 Januari 2022 | 9:47am
(Gambar fail) Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. - FOTO BERNAMA
(Gambar fail) Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. - FOTO BERNAMA

Banjir: Lebih 11,000 KIR sudah terima bantuan Selangor Bangkit

SHAH ALAM: Bantuan bernilai RM1,000 bawah program Selangor Bangkit, selesai diagihkan kepada lebih 11,000 ketua isi rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata penyaluran bantuan itu membabitkan sebahagian besar KIR ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh Selangor.

Beliau berkata, proses berkenaan berjalan lancar dalam tempoh seminggu, dengan mangsa banjir di PPS tidak perlu mengemukakan borang permohonan.

"Fasa pertama pemberian bantuan itu kepada mangsa banjir yang tinggal di PPS, boleh dikatakan selesai membabitkan lebih 11,000 KIR.

"Ada juga yang tinggal di PPS tetapi tidak hadir apabila nama dipanggil, mungkin mereka terlepas. Kita akan meneruskan pemberian bantuan banjir dalam masa terdekat.

"Bantuan ini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri. Bantuan Kerajaan Persekutuan pula disalurkan melalui Pejabat Pembangunan Persekutuan secara terus kepada KIR berdasarkan data daripada kerajaan negeri," katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, bantuan sama juga sudah mula diagihkan kepada mangsa banjir yang tidak tinggal di PPS.

"Ada mangsa banjir yang tidak tinggal di PPS, sudah menerima bantuan. Kita menganggarkan jumlah itu akan meningkat hingga 30,000 keluarga, namun kita sedang mengumpulkannya lagi (senarai mangsa banjir)," katanya.

Beliau berkata, bantuan yang mula diagihkan 28 Disember itu dijangka selesai hujung bulan ini.

Sementara itu, Amirudin memaklumkan kerajaan negeri melalui Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), sedang meneliti semua kawasan terjejas banjir di negeri ini untuk memberi pengecualian bayaran bil air bulan ini.

"Kita sudah menyenaraikan kawasan (terjejas banjir). Air Selangor sedang meneliti di mana semua yang terkesan di Selangor dan Kuala Lumpur akan mendapat (pengecualian) pada Januari ini.

"Kita juga akan melihat proses bagi rumah strata sebab kita ada masa hingga (hujung) Januari ini," katanya.

Berita Harian X