Khamis, 6 Januari 2022 | 4:32pm
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (tiga, kanan) menerima sumbangan daripada PETRONAS untuk pascabanjir di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (tiga, kanan) menerima sumbangan daripada PETRONAS untuk pascabanjir di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini. - Foto BERNAMA

PETRONAS sumbang 1,000 tong gas untuk mangsa banjir Selangor

SHAH ALAM: PETRONAS menyumbang 1,000 tong gas petroleum cecair (LPG) untuk diagihkan kepada mangsa banjir di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata PETRONAS turut menyumbang peralatan pembersihan bernilai RM1 juta bagi melancarkan kerja pencucian pascabanjir.

Katanya, jumlah keseluruhan sumbangan diterima dari PETRONAS bernilai RM1.1 juta.

"Kita amat berbesar hati hari ini menerima sumbangan PETRONAS, ini akan mengurangkan bebanan mangsa banjir yang melanda Disember lalu.

"Kita akan tumpukan (agihan sumbangan) kepada keluarga yang betul-betul memerlukan kerana kita dapati ada individu, agensi kerajaan negeri dan persekutuan serta badan bukan kerajaan (NGO) yang juga sampaikan sumbangan.

"Tong gas akan diserahkan kepada mangsa terjejas bencana yang dikenal pasti mengikut daerah juga Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) selewat-lewatnya minggu depan," katanya pada sidang media selepas menerima sumbangan itu di Dewan Annex, SUK di sini hari ini.

Sumbangan diserahkan Naib Presiden Pemasaran Hiliran PETRONAS, Ahmad Adly Alias.

Amirudin berkata, 1,000 unit tong gas itu akan digabungkan dengan 1,000 dapur gas yang diperoleh sebelum ini.

"Sekurang-kurangnya, 1,000 rumah sudah ada bekalannya, lain-lain kita akan uruskan dari semasa ke semasa," katanya.

Dalam pada itu Amirudin berkata, kerajaan negeri akan mengumumkan jumlah keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat banjir serta tindakan yang akan diambil esok.

"Saya sudah mengadakan mesyuarat tadi, esok saya akan mengadakan sidang media berhubung jumlah rumah yang musnah akibat banjir, rumah yang perlu diperbaiki, agensi mana yang akan menguruskannya.

"Kerajaan negeri juga akan menentukan penempatan sementara mangsa banjir," katanya.

Sementara itu, Ahmad Adly berkata, sumbangan yang disalurkan adalah sebahagian daripada RM25 juta peruntukan untuk membantu mangsa bencana melanda beberapa kawasan di negara ini.

"Kerjasama dengan kerajaan negeri membolehkan sumbangan ini diagih secara lebih berkesan kepada isi rumah terjejas selain memudahkan perkhidmatan pembersihan di kawasan terjejas oleh KDEB Waste Management (KDEBWM)," katanya.

Berita Harian X