Khamis, 6 Januari 2022 | 4:13pm
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki - Foto BERNAMA
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki - Foto BERNAMA

Azam Baki diminta beri penjelasan kepada SC

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan meminta semua pihak yang terbabit, termasuk Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memberi penjelasan serta mengesahkan kenyataan yang dibuat, selain mengumpul sebarang bukti berkaitan.

Pengawal selia pasaran modal tempatan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, di bawah Seksyen 25

Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA), semua akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mesti menggunakan nama pemilik manfaat sekuriti deposit atau penama yang dibenarkan.

"Selain itu, Seksyen 29A SICDA menetapkan bahawa semua urus niaga sekuriti hanya boleh dilakukan oleh pemilik manfaat sekuriti atau penama yang dibenarkan," tegas kenyataan itu.

Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), satu daripada lima badan pemantau bebas SPRM, mendapati mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau percanggahan kepentingan membabitkan Azam dalam urus niaga saham pada 2015.

Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujan,g berkata LPPR dalam mesyuarat khas pada 24 November lalu mendapatkan penjelasan Azam dan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu menjelaskan bahawa akaun sahamnya digunakan oleh adiknya, Nasir Baki, untuk membeli saham-saham pada 2015.

Abu Zahar berkata, pembelian saham-saham berkenaan dibuat di pasaran saham terbuka dan tiada sebarang pencanggahan kepentingan bagi pembelian saham-saham berkenaan pada 2015, dan saham-saham itu juga telah dipindahkan kepada Nasir pada tahun yang sama.

Beliau berkata, selepas berbincang dengan panjang lebar, ahli-ahli LPPR berpendapat bahawa Azam tiada sebarang kepentingan 'pecuniary' (kewangan) mahupun benefisial ke atas saham-saham berkenaan.

"Justeru, LPPR berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan dan mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau 'conflict of interest' (percanggahan kepentingan) dalam perkara itu," katanya dalam sidang media khas pada Rabu.

Sebelum ini tular di media sosial dakwaan Azam memiliki kepentingan dan pemilikan saham dalam beberapa syarikat.

Azam dalam sidang media berasingan selepas berakhirnya sidang media Abu Zahar berkata, dalam penjelasannya kepada panel LPPR memaklumkan bahawa akaun saham beliau digunakan oleh adiknya untuk membeli saham-saham di pasaran terbuka dengan pembiayaan sendiri.

Ketua Pesuruhjaya SPRM itu berkata, saham-saham yang dibelinya adiknya tiada kaitan dengan siasatan SPRM dan beliau tidak mempunyai kepentingan ke atas saham-saham terbabit.

"Saya ingin menegaskan bahawa dalam isu saham ini, saya tidak melakukan apa-apa kesalahan dan tuduhan terdapat 'conflict of interest' (percanggahan kepentingan) di pihak saya seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak adalah tidak berasas," katanya.

Azam berkata, ia satu penipuan besar untuk memberi persepsi negatif terhadapnya.

"Ia digambarkan seolah-olah saya mengawal satu konglomerat yang besar di bawah saya demi untuk menjatuhkan reputasi saya sebagai KP (Ketua Pesuruhjaya) dan institusi SPRM," katanya dalam sidang media khas berhubung beberapa dakwaan dan isu yang tular kebelakangan ini.

Azam berkata, setelah mendapatkan nasihat peguam, beliau membuat keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang mencemarkan reputasi beliau dan juga SPRM.

Beliau dalam sidang media itu berkata, terdapat usaha beberapa pihak berkepentingan atau mempunyai agenda yang tidak baik terhadap SPRM, yang mengambil kesempatan untuk menghakis kepercayaan masyarakat terhadap SPRM dengan menjadikan Ketua Pesuruhjaya sebagai sasaran serangan bertubi-tubi.

Malahan, katanya mereka juga mengunakan beberapa pihak tertentu untuk memberi tekanan ke atas SPRM.

"Kami telah kenal pasti siapa dan apa agenda mereka," katanya.

Azam berkata, apa yang mereka tulis adalah untuk menjatuhkan reputasinya dan beliau juga menyedari ia antara cabaran yang dihadapi oleh hampir semua Ketua Peseuruhjaya SPRM.

Dalam melaksanakan tugas, SPRM banyak membuat tangkapan sama ada orang kenamaan atau orang biasa, sudah tentu ia menimbulkan kemarahan beberapa pihak, katanya.

"Saya sudah berkhidmat selama 37 tahun, saya mungkin mempunyai ramai musuh dan berkemungkinan ramai yang tidak suka dengan saya," katanya.

Berita Harian X