Khamis, 6 Januari 2022 | 3:04pm
Semua masjid di seluruh Perlis akan mula solat berjemaah dengan merapatkan saf, berkuat kuasa solat Subuh pada Sabtu ini. - Foto Hiasan
Semua masjid di seluruh Perlis akan mula solat berjemaah dengan merapatkan saf, berkuat kuasa solat Subuh pada Sabtu ini. - Foto Hiasan

Perlis benar rapat saf solat berjemaah di masjid

ARAU: Semua masjid di seluruh Perlis akan mula solat berjemaah dengan merapatkan saf, berkuat kuasa solat Subuh pada Sabtu ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, keputusan itu mendapat limpah perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail setelah meneliti perkembangan semasa COVID-19 di negeri ini.

"Selain itu, peratusan tinggi vaksinasi lengkap dan peningkatan dos penggalak yang mencapai kadar 16.9 peratus atau 30,575 penerima berdasarkan maklumat terkini pada 2 Januari lalu dan didapati keadaan penularan wabak di Perlis berada dalam keadaan terkawal.

"Sehubungan itu, baginda mempertimbang dengan penuh hikmah dan teliti serta menilai dengan penuh bijaksana dan berhati-hati dalam menjalankan tanggungjawab Raja Pemerintah dan Ketua Agama Negeri.

"Sukacita dimaklumkan, kebenaran bersyarat amalan merapatkan saf solat berjemaah di masjid seluruh Perlis, berkuat kuasa pada Subuh 8 Januari depan, iaitu Sabtu sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

"Kebenaran ini adalah kepada semua masjid di seluruh Perlis sahaja, manakala surau atau tempat solat umum atau awam kekal tidak dibuka (solat berjemaah merapatkan saf).

"Larangan ini termasuk kepada surau atau tempat solat di agensi, institusi, maahad tahfiz dan sebagainya melainkan dengan kebenaran khas daripada MAIPs dan melalui Jabatan Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs)," titah baginda dalam satu kenyataan, hari ini.

Melalui kenyataan itu, solat dengan merapatkan saf memerlukan jemaah mematuhi beberapa peraturan seperti kadar jarak sejadah masing-masing adalah berdasarkan saiz sejadah standard dan tidak berlaku sentuhan fizikal.

Bagaimanapun, jemaah yang tinggal serumah tidak terikat dengan syarat berkenaan dan dari segi pengekalan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada, ia hendaklah kekal dipatuhi pada setiap masa ketika selesai solat, mendengar kuliah dan sepanjang tempoh berada di masjid.

"Pematuhan SOP masih perlu diteruskan seperti kekal melaksanakan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter, memakai pelitup separuh muka dan digalakkan pelitup muka jenis N95 atau K95 serta memakai dua pelitup muka atau 'double face mask' yang ditambah baik dengan pemakaian pelindung muka atau 'face shield'.

"Selain itu, jemaah masih perlu membawa sejadah sendiri bersaiz standard, mengambil wuduk sebelum ke masjid, mengimbas suhu badan dan merekodkan penjejakan sosial dengan mengimbas Kod QR aplikasi MySejahtera atau mendaftar pada buku yang disediakan," titah baginda.

Baginda bertitah, pematuhan terhadap SOP masih diperketatkan dan tidak dibenarkan sebarang kontak sentuhan fizikal seperti bersalaman.

"Jemaah yang menerima suntikan vaksin lengkap, sama ada dewasa, kanak-kanak atau warga emas dibenarkan hadir ke masjid. Namun, pegawai bertugas dan jemaah kekal dilarang hadir ke masjid sekiranya terdiri daripada golongan seperti berstatus PUI (individu di bawah siasatan), PUS (pesakit dalam pemantauan) dan mereka yang memiliki risiko untuk dijangkiti.

"Malah, golongan yang mempunyai gejala seperti demam, sesak pernafasan, sakit tekak, selesema dan sebagainya juga dilarang hadir ke masjid," titah Tuanku Syed Faizuddin sambil menambah, semua aktiviti pengimarahan seperti kuliah, ceramah termasuk jamuan adalah dibenarkan dengan pematuhan SOP kesihatan dan keselamatan yang berkuatkuasa.

Raja Muda Perlis berharap agar seluruh rakyat negeri ini sentiasa mematuhi segala SOP dan ketetapan yang diperkenankan berkenaan.

Berita Harian X