Khamis, 6 Januari 2022 | 10:33am
Zulkifli mengutip bangkai arnab ternakannya selepas banjir surut di ladangnya di Kampung Ramuan Cina, Lubok Cina, Masjid Tanah pada 18 Disember lalu. - NSTP/HASSAN OMAR
Zulkifli mengutip bangkai arnab ternakannya selepas banjir surut di ladangnya di Kampung Ramuan Cina, Lubok Cina, Masjid Tanah pada 18 Disember lalu. - NSTP/HASSAN OMAR

Sayu kutip bangkai ayam kampung, arnab ternakan

MASJID TANAH: Hati mana tidak sayu melihat lebih 2,000 ayam kampung, 50 arnab dan 1,200 polibeg cili padi musnah akibat banjir yang menyebabkan kerugian lebih RM100,000?

Namun, segala kepedihan itu diterima dengan sabar dan reda oleh usahawan tani, Zulkifli Osman, 55, kerana memahami ujian Allah ada hikmah di sebaliknya.

Zulkifli menjelaskan, ketika banjir besar jam 5 pagi 18 Disember lalu, dia dan beberapa pekerjanya berusaha untuk menyelamatkan ternakan, tetapi tidak berdaya apabila mendapati air sudah mencecah dua meter ketika itu.

Keadaan ladang ternakan diusahakan Zulkifli di Kampung Ramuan Cina, Lubok Cina, Masjid Tanah ketika dilanda banjir pada 18 Disember lalu. - NSTP/HASSAN OMAR
Keadaan ladang ternakan diusahakan Zulkifli di Kampung Ramuan Cina, Lubok Cina, Masjid Tanah ketika dilanda banjir pada 18 Disember lalu. - NSTP/HASSAN OMAR

"Saya larang pekerja masuk ke reban arnab dan ayam kampung kerana bimbang keselamatan mereka, tiada apa mampu kami lakukan selain menahan kesedihan menyaksikannya. Hanya selepas air surut jam 9 pagi keesokannya, barulah kami dapat masuk ke dalam kandang untuk kutip bangkai ayam kampung dan arnab," katanya.

Zulkifli berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan Timbalan Menteri I Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah yang meninjau kerosakan akibat banjir di Kampung Ramuan Cina Kecil, Lubok Cina, dekat sini semalam.

Katanya, dia memulakan projek penternakan arnab, ayam kampung, kambing, lembu dan penanaman cili padi secara fertigasi di kawasan seluas 1.6 hektar pada 2015 dan sudah beberapa kali menikmati hasil.

"Banjir besar kali ini saya terima dengan reda walaupun terpaksa tanggung kerugian lebih RM100,000. Saya amat berharap Kementerian Pertanian dan Industri Makanan mampu menghulurkan sumbangan bagi membantu saya membina semula projek ini kerana ia membabitkan modal besar," katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata, kajian rambang kementeriannya mendapati kira-kira 5,500 peladang, penternak dan nelayan di seluruh negara yang dilabelkan sebagai 'Wira Agro' mengalami kerugian kira-kira RM69 juta, termasuk 275 orang di Melaka dengan kerugian kira-kira RM2.83 juta, belum mengambil kira mereka di Johor yang masih bergelut dengan bencana banjir.

"Kementerian menyediakan RM100 juta melalui Dana Bangkit Semula Keluarga Agro, selain Tabung Bencana melalui Peruntukan Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA) sebanyak RM80 juta serta Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) sebanyak RM12 juta," katanya.

Beliau memberi jaminan, sebaik sahaja kajian menyeluruh selesai, mereka yang terjejas akan diberikan sumbangan bagi memastikan pengeluaran bahan makanan negara tidak terjejas.

Berita Harian X