Rabu, 5 Januari 2022 | 6:25pm
Abu Zahar ketika sidang media di Putrajaya. FOTO NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Abu Zahar ketika sidang media di Putrajaya. FOTO NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Abu Zahar minta Edmund kemuka salinan surat

PUTRAJAYA: Tan Sri Abu Zahar Ujang menegaskan beliau tidak menerima apa-apa surat daripada Prof Dr Edmund Terence Gomez berhubung isu dakwaan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Justeru, Abu Zahar selaku Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), meminta Edmund yang juga pensyarah ekonomi dan bekas anggota Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), memberikan salinan surat didakwa dihantar kepada beliau sebagai bukti.

Abu Zahar berkata, selepas Edmund meletak jawatan kerana mendakwa PPPR gagal membincangkan laporan membabitkan pegawai tinggi SPRM, beliau mengarahkan pegawai sekretariat SPRM menghubungi dan menjemput Edmund berbincang isu dibangkitkan secara bersemuka namun tidak dipersetujui.

"Saya sentiasa lebih terbuka dan telus berbincang dengan Edmund dalam hal seumpama ini kerana tidak akan berkompromi dan melindungi sesiapa jika ada salah laku terhadap pegawai SPRM tanpa mengira kedudukan atau jawatan.

"Pendirian saya adalah mempertahankan dan melindungi imej SPRM daripada terjejas, bukannya melindungi pegawainya membuat salah laku.

"Saya berpendapat segala aduan mesti disertakan bukti kukuh dan saksi boleh dipercayai untuk dikemukakan kepada LPPR atau Jawatankuasa Aduan (JKA)," katanya pada sidang media di ibu pejabat SPRM di sini, hari ini.

Edmund meletak jawatan sebagai ahli panel PPPR bulan lalu kerana mendakwa jawatankuasa itu gagal membincangkan laporan membabitkan pegawai tinggi SPRM.

Media melaporkan, Edmund mendakwa, beliau sudah menghantar sekurang-kurangnya lima lampiran surat berhubung salah laku Azam dalam e-melnya kepada Pengerusi PPPR, Tan Sri Borhan Dolah, selain lampiran itu dihantar kepada Abu Zahar.

Abu Zahar berkata, Edmund boleh membuat laporan polis berhubung isu dibangkitkan jika beliau tidak percaya dan yakin kepada panel PPPR.

Katanya, peranan PPPR adalah hanya untuk menasihati SPRM dari aspek pencegahan dan pendidikan masyarakat, selain keberkesanan aktiviti pemeriksaan dan perundingan terhadap amalan, sistem serta tata kerja di sektor awam dan swasta yang membuka ruang dan peluang perlakuan jenayah rasuah.

Berita Harian X