Rabu, 5 Januari 2022 | 2:29pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

100 jemaah sedang kuarantin di Makkah

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 100 jemaah umrah tanah air yang didapati positif COVID-19 sedang menjalani kuarantin di Makkah ketika ini.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata daripada jumlah itu, ada jemaah mendapat rawatan lanjut di hospital kerana mengalami masalah kesihatan tertentu.

"Setakat laporan yang PAPUH terima hari ini, anggaran ada lebih 100 jemaah yang kena kuarantin di sana dalam kalangan ahli kami.

"Ada dua kumpulan jemaah, masing-masing membabitkan 55 orang dan lebih 40 jemaah yang masih berada di sana untuk jalani kuarantin.

"Jumlah keseluruhan setakat ini dalam 104 orang sahaja dan kesemuanya sudah menjalani ibadat umrah, namun ditahan kerana ujian saringan COVID-19 sebelum kembali ke tanah air didapati positif," katanya kepada BH, hari ini.

Razali berkata, jemaah tanah air yang berada di Makkah semakin menurun dengan jumlahnya ketika ini antara 2,000 hingga 3,000 jemaah.

"Memandangkan negara akan menangguhkan sementara ibadat umrah, memang nampak pengurangan jumlah jemaah semasa. Jemaah yang akan menaiki penerbangan dalam minggu ini juga menurun.

"Kami berharap kerajaan tidak meneruskan hasrat menangguhkan ibadat umrah, tetapi beri tumpuan kepada pelaksanaan kuarantin. Jika boleh, PAPUH menasihatkan orang ramai yang ingin tunai umrah ambil inisiatif sendiri untuk cari hotel mengikut kemampuan bagi kuarantin selepas balik ke tanah air.

"Ini sedikit sebanyak mengurangkan perbelanjaan kerajaan yang terbeban untuk menyediakan kemudahan penginapan kepada jemaah umrah," katanya.

Razali berkata, PAPUH juga dalam usaha untuk bertemu pihak Kedutaan Arab Saudi di Malaysia bagi membincangkan isu dihadapi sesetengah jemaah yang terpaksa membuat bayaran dahulu untuk rawatan di hospital, dengan tuntutan dibayar semula kemudian.

"Lebih kurang tujuh syarikat insurans yang kita berurusan ketika buat visa untuk jemaah dan ada antaranya yang minta jemaah bayar dahulu, inilah masalahnya.

"Jadi, kami berhasrat untuk berbincang lanjut mekanisme terbaik supaya tidak membebankan jemaah. Jika boleh pihak insurans Arab Saudi bayar terus untuk jemaah yang perlu mendapatkan rawatan di hospital dan sebagainya," katanya.

Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, jumlah kumulatif varian Omicron di negara ini meningkat kepada 122 kes dengan empat daripadanya adalah penularan tempatan.

Berita Harian X