Rabu, 5 Januari 2022 | 12:34pm
Bung Moktar (dua dari kiri) meninjau perkembangan pembangunan di daerah Tongod. - Foto ihsan pembaca
Bung Moktar (dua dari kiri) meninjau perkembangan pembangunan di daerah Tongod. - Foto ihsan pembaca

Elak kerenah birokrasi, permudah urusan rakyat

TONGOD: Rakyat patut marah jika urusan mereka tidak dipermudahkan disebabkan kerenah birokrasi, lebih-lebih lagi mereka yang datang dari jauh untuk berurusan dengan jabatan kerajaan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata rakyat bukan saja marah kepada kerajaan, malah wakil rakyat turut menjadi sasaran kerana berasakan mereka tidak dibantu dengan sewajarnya.

"Rakyat datang dari jauh untuk berurusan di pejabat kerajaan, tambangnya RM20 hingga RM30. Hari ini tidak selesai, kita suruh datang esok. Esok pun tidak selesai.

"Justeru, kerenah birokrasi dalam sistem penyampaian kita perlu diubah bagi mempermudahkan urusan rakyat," katanya selepas mendengar taklimat pembangunan daerah Tongod oleh Pegawai Daerah, Mohd Fauzi Norbeh sempena lawatan kerjanya ke daerah ini, semalam.

Bung Moktar berkata, perubahan sistem penyampaian yang lebih cekap dan efisien mampu memacu sesebuah daerah ke arah yang lebih baik, selain membantu rakyat keluar daripada kepompong kemiskinan.

"Kita perlu memudahkan sistem penyampaian supaya kita dapat membangunkan semua 27 daerah di Sabah dan negeri ini keseluruhannya," katanya.

Berita Harian X