Selasa, 4 Januari 2022 | 11:45pm
Majlis angkat sumpah barisan Kabinet baharu Sarawak mencipta sejarah apabila diadakan secara maya di hadapan Abdul Taib di Bangunan DUN Sarawak, hari ini. - Foto Bernama
Majlis angkat sumpah barisan Kabinet baharu Sarawak mencipta sejarah apabila diadakan secara maya di hadapan Abdul Taib di Bangunan DUN Sarawak, hari ini. - Foto Bernama

Barisan Kabinet baharu Sarawak angkat sumpah secara maya

KUCHING: Majlis angkat sumpah barisan Kabinet baharu Sarawak dan menteri muda kali ini melakar sejarah tersendiri apabila berlangsung secara maya menyaksikan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud menerima pelantikan mereka di Astana Negeri dengan istiadat dijalankan secara fizikal di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.

Turut hadir menyaksikan istiadat secara hibrid itu ialah Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri, Puan Sri Juma'ani Tun Tuanku Bujang.

Majlis angkat sumpah itu didahului tiga Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, diikuti menteri seperti Datuk Seri Fatimah Abdullah, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, Datuk Seri Lee Kim Shin, Datuk John Sikie Tayai, Datuk Julaihi Narawi dan Datuk Roland Sagah Wee Inn.

Ini diikuti Menteri Muda iaitu Datuk Francis Harden Hollis, Datuk Dr Jerip Susil, Datuk Liwan Lagang, Datuk Rosey Yunus, Datuk Len Talif Saleh, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Dr Annuar Rapaee, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Datuk Dr Penguang Manggil, Datuk Snowdan Lawan, Datuk Abdullah Saidol dan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.

Barisan Kabinet Sarawak membabitkan 10 Menteri dan 26 Menteri Muda itu turut menampilkan 12 muka baharu iaitu Datuk Gerawat Gala, Dr Hazland Abang Hipni, Datuk Dr Juanda Jaya, Aidel Lariwoo, Datuk Henry Harry Jinep, Dr Ripin Lamat, Mohamad Razi Sitam, Martin Ben, Datuk Majang Renggi, Jefferson Jamit Unyat, Datuk Gerald Rentap Jabu dan Micheal Tiang Ming Tee.

Abang Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong dan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), mengangkat sumpah pada 18 Disember lalu selepas gabungan politik tempatan itu memenangi Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12).

GPS yang membabitkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), memenangi 76 daripada 82 kerusi DUN dipertanding pada pilihan raya itu. – BERNAMA

Berita Harian X