Selasa, 4 Januari 2022 | 8:36pm
MATTA berharap kerajaan dapat mengkaji semua perintah penangguhan perjalanan umrah bermula 8 Januari ini. - Foto hiasan NSTP/Aizuddin Saad
MATTA berharap kerajaan dapat mengkaji semua perintah penangguhan perjalanan umrah bermula 8 Januari ini. - Foto hiasan NSTP/Aizuddin Saad

Tangguh umrah, jemaah akan kerugian 80 peratus kos

SEREMBAN: Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) berharap kerajaan dapat mengkaji semua perintah penangguhan perjalanan umrah bermula 8 Januari ini.

Naib Presiden Haji dan Umrah MATTA, Mohd Azri Abd Razak, berkata langkah itu penting bagi mengelakkan jemaah terpaksa menanggung kerugian.

Katanya, jemaah terpaksa menanggung kerugian hingga 80 peratus kerana wang bagi tujuan ibadah termasuk kos pengangkutan, pembatalan hotel dan syarikat penerbangan tidak dapat dikembalikan semula.

"Wang yang dibayar oleh jemaah bagi kos menunaikan umrah tidak dapat diperoleh semula sekiranya perjalanan umrah ini ditangguhkan.

"Jemaah umrah sedia mematuhi jika kerajaan mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) berbanding menangguhkan perjalanan menunaikan umrah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam laporan media sebelum ini, kerajaan mengeluarkan arahan untuk menangguhkan pelaksanaan ibadah umrah bermula 8 Januari ini berikutan situasi penularan varian Omicron di Arab Saudi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini menegaskan keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) menangguhkan ibadah umrah untuk menjaga nyawa rakyat.

Bagaimanapun, beliau dilaporkan akan mendapatkan laporan terperinci berkaitan keputusan KKM itu.

Berita Harian X