Selasa, 4 Januari 2022 | 6:54pm
Fenomena air pasang besar menyebabkan banjir di kampung Bakau Tinggi, Kemaman. Foto NSTP/ROSLI ILHAM
Fenomena air pasang besar menyebabkan banjir di kampung Bakau Tinggi, Kemaman. Foto NSTP/ROSLI ILHAM

Pasang besar, 19 di dua PPS Kemaman

KUALA TERENGGANU: Seramai 19 mangsa daripada lima keluarga masih ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Kemaman setakat jam 6 petang susulan fenomena air pasang besar malam tadi.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, semua mangsa dipindahkan ke PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Jabor dan Sekolah Menengah Kebangsaan Geliga.

Setakat ini, PPS di SK Lembah Jabor yang dibuka jam 10 malam tadi menempatkan sembilan mangsa daripada tiga keluarga.

Seramai 10 mangsa daripada dua keluarga dipindahkan ke PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan Geliga. Semua mangsa masih berada di PPS berikutan fenomena air pasang besar dan air termenung.

Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan Terengganu berdepan fenomena air pasang besar bermula 1 hingga 8 Januari ini.

Fenomena air pasang besar disusuli hujan lebat berterusan berisiko menyebabkan beberapa kawasan rendah terutama yang terletak berhampiran sungai dan pantai dilanda banjir.

Fenomena air pasang besar menyebabkan rumah penduduk berhampiran muara Sungai Terengganu di Pulau Duyong dinaiki air malam tadi. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Fenomena air pasang besar menyebabkan rumah penduduk berhampiran muara Sungai Terengganu di Pulau Duyong dinaiki air malam tadi. - Foto NSTP/Ghazali Kori

Berita Harian X