SEGAMAT: Orang ramai diingatkan tidak menjadikan banjir sebagai pesta air dengan mengabaikan keselamatan kerana dikhuatiri mengancam nyawa mereka.
Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, Penguasa Bomba Rasidi Md Yunos, berkata arus sangat deras dan meningkat dengan cepat terutama berhampiran sungai, pantai, lombong dan tasik.
"Ada yang menjadikan banjir satu pesta dengan rasa tidak bersalah buat video TikTok, sebarkan menerusi media sosial. Aktiviti ini sangat berisiko kerana aspek keselamatan diabaikan dan sanggup mengharung banjir.
"Ini termasuk tidak memakai pakaian perlindungan diri (PPE) dan jaket keselamatan, selain ada juga membiarkan anak-anak kecil bermain air. Seharusnya, perkara seumpama ini tidak berlaku," katanya yang ditemui pemberita di Balai Bomba dan Penyelamat Segamat, di sini hari ini.
Beliau berkata, penduduk di daerah ini dan kawasan terjejas banjir tidak wajar mengambil risiko meredah arus banjir kerana kedalaman air dan kekuatan arus deras ketika banjir tidak dapat dijangka, sekali gus membahayakan nyawa.
"Nasihat saya kepada masyarakat ialah berikan kerjasama dan patuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelak kejadian tidak diingini," katanya.
Setakat ini, 101 kampung dan taman perumahan di Johor terjejas banjir dengan 79 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan 5,598 mangsa.
Sebanyak lima sungai di negeri ini melepasi tahap bahaya iaitu Sungai Muar di Kampung Awat mencatat paras 21.58 meter diikuti Sungai Muar di Buloh Kasap (11.13m), Sungai Segamat di Bandar Segamat (9.91m), Sungai Lenik di Ladang Chaah, Segamat (6.69m) dan Sungai Kesang di Kampung Seri Maamor, Tangkak (4.26m). – BERNAMA