Selasa, 4 Januari 2022 | 4:46pm
 Keadaan banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam, baru-baru ini. - NSTP/ FAIZ ANUAR
Keadaan banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam, baru-baru ini. - NSTP/ FAIZ ANUAR

'Kami belum terima bantuan banjir'

SHAH ALAM: Sebahagian besar mangsa banjir di sekitar Taman Sri Muda masih menunggu bantuan dijanjikan kerajaan sama ada Kerajaan Pusat mahupun kerajaan negeri walaupun sudah mengisi borang diperlukan.

Setakat ini, penduduk masih belum menerima sebarang maklumat berhubung status bantuan yang sepatutnya diterima bagi meringankan beban mereka sejak bencana itu berlaku pada 18 Disember lalu.

Pengerusi Surau At Taqwa Seksyen 25, Mustafa Othman, berkata keadaan itu menyebabkan segelintir mangsa banjir di kawasan berkenaan datang meminta bantuan kewangan di surau.

Pengerusi Surau At Taqwa Seksyen 25, Mustafa Othman
Pengerusi Surau At Taqwa Seksyen 25, Mustafa Othman

Deretan lori yang membawa muatan sisa barang rosak dan lusuh kesan daripada banjir menunggu giliran untuk diletakkan sebelum ia akan diambil oleh lori muatan yang lebih besar dibawa keluar dari kawasan Taman Sri Muda untuk dilupuskan. - Foto NSTP/OSMAN ADNAN
Deretan lori yang membawa muatan sisa barang rosak dan lusuh kesan daripada banjir menunggu giliran untuk diletakkan sebelum ia akan diambil oleh lori muatan yang lebih besar dibawa keluar dari kawasan Taman Sri Muda untuk dilupuskan. - Foto NSTP/OSMAN ADNAN

"Setakat ini, saya difahamkan sebahagian besar mangsa banjir belum dapat bantuan sepatutnya daripada kerajaan, menyebabkan mereka datang ke surau untuk memohon bantuan, tetapi kami tiada bajet untuk tujuan itu.

"Tambahan pula semua tempat di sini termasuk surau turut menanggung beban akibat banjir. Jika mereka datang meminta makanan atau pakaian, kita boleh hulurkan," katanya kepada BH, di sini, hari ini.

Mustafa berkata, pihaknya mengharapkan ada pihak tampil membantu dalam keadaan mangsa banjir terpinga-pinga tanpa hala tuju berhubung status permohonan mereka.

"Sebaiknya perlu ada pihak turun ke sini bertanya khabar berapa ramai penduduk belum terima bantuan dan mengambil senarai mereka terbabit.

"Paling baik ialah buka kaunter sementara bersama pegawai sebagai rujukan mangsa banjir yang belum menerima bantuan," katanya.

Sementara itu, penduduk Taman Sri Muda, Mohamad Amir Ridhuan Hansan, 35, berkata dia berharap proses saluran bantuan kepada semua mangsa banjir dilakukan secara lebih jelas dan mudah.

"Setakat ini, apa saja bantuan diumumkan kerajaan sama ada Pusat atau negeri, belum diterima dan kami masih menunggu.

injauan penduduk Taman Sri Muda yang membaiki kenderaan mereka selepas banjir. - Foto NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
injauan penduduk Taman Sri Muda yang membaiki kenderaan mereka selepas banjir. - Foto NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

"Duit yang saya gunakan sekarang adalah bantuan daripada orang ramai terutama keluarga, saudara-mara dan rakan," katanya.

Hasnani Abu Bakar, 46, pula berkata, setakat ini suaminya hanya menerima bantuan RM600 daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) kelmarin, manakala bantuan lain yang dijanjikan belum belum diperoleh.

Hasnani Abu Bakar
Hasnani Abu Bakar

Ahmad Kasim
Ahmad Kasim

"Duit zakat kami gunakan untuk membaiki pintu rumah yang rosak akibat banjir. Kami memang berharap bantuan lain diterima sebab banyak kerosakan rumah perlu dibaiki," katanya.

Ahmad Kasim, 59, berkata dia memahami ramai yang membuat permohonan kerana banyak lokasi terjejas, tetapi berharap kerajaan menyegerakan penyaluran bantuan kepada mangsa banjir.

"Saya difahamkan mangsa yang tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS) lebih mudah mendapat bantuan sebab maklumat mereka sudah direkodkan, berbanding kami yang tidak tinggal di situ," katanya.

Berita Harian X