Selasa, 4 Januari 2022 | 10:32am
Peguam, Mohd Fikah Sanusi (kiri) dan Ponnusamy Kalaichelvan, yang mewakili pegawai kanan SPRM, Shahrum Nizam Baharuddin, tiba di bangunan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Peguam, Mohd Fikah Sanusi (kiri) dan Ponnusamy Kalaichelvan, yang mewakili pegawai kanan SPRM, Shahrum Nizam Baharuddin, tiba di bangunan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Penguasa Kanan SPRM didakwa pecah amanah AS$6.94 juta

KUALA LUMPUR: Seorang Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan melakukan pecah amanah terhadap wang berjumlah AS$6.94 juta.

Shahrum Nizam Baharuddin, 41, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Shahrum didakwa sebagai penjawat awam iaitu Penguasa Kanan SPRM, Gred P44 dalam kapasiti itu diamanahkan dengan penguasaan ke atas matawang AS$6.94 juta dan melakukan pecah amanah terhadap harta berkenaan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Bilik Ketua Cawangan Tindakan Khas (CTK) Aras 14, Blok C, Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya antara 17 Disember 2018 dan 9 April 2019.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, sebat dan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin membantah jaminan diberikan ke atas tertuduh kerana membabitkan kesalahan serius selain mendapat liputan media

Bagaimanapun, katanya, sekiranya mahkamah membenarkan ikat jamin, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM10 juta dengan tiga penjamin terhadap tertuduh.

Tertuduh dalam rayuannya memohon dibenarkan ikat jamin kerana masih bertugas sebagai penjawat awam dan tidak berisiko melarikan diri.

"Tertuduh sudah ditahan sejak September lalu dan sudah memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan.

"Tertuduh sudah berkahwin dan mempunyai dua anak serta mengalami masalah kesihatan iaitu sakit tulang belakang selain kanser hidung," katanya.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 18 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Pada September lalu, SPRM menahan tiga pegawainya selepas bekas Ketua Pengarah Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid membuat laporan bahawa sejumlah besar wang tunai yang dirampas suruhanjaya itu ketika menyiasatnya pada 2018 telah hilang.

Isnin lalu pula, media melaporkan, seorang pegawai SPRM yang didakwa terbabit dengan kecurian duit berkenaan ditahan di Penjara Simpang Renggam mengikut Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).

Mengesahkan perkara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, pegawai itu menjalani hukuman dua tahun disebabkan terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah.

Berita Harian X