SEREMBAN: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menghantar 10,000 liter minyak diesel ke menara telekomunikasi Telekom Malaysia (TM) di Gunung Telapak Buruk, Jelebu, yang terputus bekalan elektrik, baru-baru ini.
Markas Briged Pertama Infantri Malaysia (Markas 1 Briged) dalam kenyataan memaklumkan, minyak berkenaan dihantar pada 31 Disember lalu.
Katanya, seramai 20 orang anggota Kompeni Angkut Kor Perkhidmatan Diraja (KPD) terbabit dalam operasi itu.
"Turut bersama-sama membantu Markas 1 Briged ialah Platun Hantaran Udara 10 KPD bagi membantu pihak berkaitan membuat pembersihan tapak pendaratan helikopter bagi tujuan penghantaran minyak diesel.
"Operasi ini dilaksanakan disebabkan Menara Telekomunikasi TM di Telapak Buruk terputus bekalan elektrik serta hubungan. Terdapat empat pekerja terperangkap di menara berkenaan," kata kenyataan itu hari ini.
Laluan utama ke menara telekomunikasi TM di Gunung Telapak Buruk kini terputus selepas berlakunya banyak tanah runtuh dan pokok tumbang, susulan hujan lebat yang berterusan pada 18 Disember lalu.