Isnin, 3 Januari 2022 | 1:51pm

Banjir makin buruk di Johor

JOHOR BAHRU: Batu Pahat menjadi daerah ketujuh dan terbaharu terjejas banjir di negeri ini apabila 42 mangsa daripada 11 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) balai raya Kampung Haji Kamisan, setakat tengah hari ini.

EXCO Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata bilangan mangsa banjir melonjak kepada 4,062 orang daripada 1,064 keluarga di 64 PPS setakat jam 12 tengah hari, berbanding 3,841 mangsa daripada 1,008 keluarga di 62 PPS, jam 8 pagi tadi.

Katanya, Segamat menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 3,284 mangsa daripada 853 keluarga ditempatkan di 47 PPS setakat ini.

"Sebanyak 62 PPS dibuka di Johor membabitkan 47 di Segamat, Mersing (enam), Kota Tinggi, Kluang dan Tangkak masing-masing tiga, Johor Bahru (satu) manakala Batu Pahat yang menjadi daerah ketujuh terjejas banjir turut membuka sebuah PPS.

"Mangsa banjir paling ramai adalah di PPS (SK) Kampung Tenang, Segamat (502 mangsa daripada 157 keluarga), SJK (C) Tah Kang di Segamat dengan 319 mangsa daripada 85 keluarga diikuti Sekolah Kebangsaanselain SK Batu Anam, Segamat (256 mangsa daripada 70 keluarga).

Keadaan banjir di Kampung Batu 5, Buloh Kasap, Segamat, Johor. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Keadaan banjir di Kampung Batu 5, Buloh Kasap, Segamat, Johor. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan

"Mersing adalah daerah kedua paling terjejas apabila mangsa bertambah kepada 371 orang daripada 94 keluarga di enam PPS setakat tengah hari ini.

"Kota Tinggi merekodkan 174 mangsa banjir daripada 51 keluarga, Tangkak (123 mangsa, 33 keluarga) dan Kluang (66 mangsa, 21 keluarga) dengan semua daerah terbabit membuka tiga PPS setakat ini.

"Johor Bahru merekodkan dua mangsa banjir daripada satu keluarga yang ditempatkan di PPS Dewan Raya Sungai Tiram," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Vidyananthan berkata, hujan berterusan dijangka berterusan hingga ke petang di hampir 10 daerah di Johor.

Katanya, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) masih mengeluarkan amaran cuaca bahaya di seluruh Johor iaitu cuaca hujan lebat berterusan, hari ini.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan melawat penduduk terjejas banjir yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Mawai, Kota Tinggi. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan melawat penduduk terjejas banjir yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Mawai, Kota Tinggi. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan

"Penduduk di kawasan rendah dan berisiko banjir dinasihatkan berwaspada dan peka terhadap perubahan cuaca di kawasan masing-masing.

"Fenomena air pasang besar diramal berlaku dan penduduk di kawasan berhampiran laut, sungai serta pesisir pantai di negeri ini perlu lebih berhati-hati terhadap sebarang kemungkinan," katanya.

Keadaan banjir di Jalan Mawai Lama, Kota Tinggi. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Keadaan banjir di Jalan Mawai Lama, Kota Tinggi. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Petugas membawa selimut untuk diedarkan kepada mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Mawai, Kota Tinggi. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Petugas membawa selimut untuk diedarkan kepada mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Mawai, Kota Tinggi. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Berita Harian X