X
Isnin, 3 Januari 2022 | 9:13am
- Hiasan. FOTO NSTP
- Hiasan. FOTO NSTP

6 sungai di Pahang lepasi paras bahaya

KUANTAN: Enam sungai di Pahang merekodkan bacaan melepasi paras bahaya, masing-masing di Lipis, Jerantut, Temerloh, Bera, Maran dan Rompin setakat jam 8.15 pagi ini.

Menurut laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), enam sungai terbabit ialah Sungai Tanum di Jambatan Chegar Perah, Lipis yang merekodkan bacaan 98.10 meter (m) berbanding paras bahaya 98 m.

Sungai Pahang di Paya Gintong, Jerantut pula merekodkan 46.06 m berbanding 45 m; Sungai Pahang di Kuala Krau Temerloh dengan catatan 40.51 m berbanding 40 m; Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera dengan catatan 33.37 m berbanding 30.50 m.

Turut melepasi paras bahaya ialah Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran yang merekodkan bacaan 28.46 m berbanding 28 m manakala Sungai Pukin, Rompin dengan catatan 45.26 m berbanding 45 m.

Selain itu, 13 sungai mencatatkan bacaan melebihi paras amaran manakala paras waspada pula membabitkan sembilan sungai.

Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula melaporkan seramai 1,956 mangsa banjir daripada 616 keluarga masih berada di 53 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi ini.

Jumlah itu membabitkan mangsa banjir daripada sembilan sembilan daerah iaitu Pekan, Temerloh, Raub, Lipis, Bera, Maran, Rompin, Jerantut dan Kuantan.

Berita Harian X