Ahad, 2 Januari 2022 | 4:14pm
Abu Bakar menunjukkan reban rakit yang dibinanya bagi menyelamatkan ayam kacukannya mati akibat banjir - Foto NSTP/Rosli Ilham
Abu Bakar menunjukkan reban rakit yang dibinanya bagi menyelamatkan ayam kacukannya mati akibat banjir - Foto NSTP/Rosli Ilham

Bina 'reban rakit' selamatkan ayam jualan

CHUKAI: Seorang warga emas membina 'reban rakit' bagi menyelamatkan ayam ternakannya daripada mati dihanyutkan banjir.

Abu Bakar Che Ahmad, 66, yang tinggal di kampung Tebak, Air Putih berkata, dia mencipta kaedah terbabit selepas tidak tahan mengalami kerugian sepanjang tahun.

"Saya menternak ayam denak yang dikacukkan dengan baka ayam hutan sejak tujuh tahun lalu sebagai pendapatan sampingan sekeluarga.

"Setiap ayam ini saya jual antara RM100 hingga RM300 bergantung kepada baka yang dikacukkan," katanya yang bekerja sebagai penoreh getah.

Menurutnya, setiap kali kampungnya dilanda banjir, paras air banjir akan meningkat sehingga lima meter sekali gus menyebabkan semua ayam peliharaannya mati.

"Pernah suatu ketika dilanda banjir, saya mengalami kerugian hampir RM5,000 selepas ayam ternakan mati akibat dihanyutkan air.

"Bagi menyelesaikan masalah itu, pada tahun lalu, saya mencari idea dan menjadikan reban ayam itu seperti rakit," katanya.

Katanya, dia mengeluarkan modal sebanyak RM2,000 dan mula membina reban rakit itu dengan membeli kayu dan jaring besi sebagai bahan binaan sangkar manakala tong plastik dijadikan sebagai pelampung.

"Saya ambil masa selama seminggu membina reban rakit itu dan kini reban itu mampu memuatkan hampir 200 ekor ayam.

"Reban ayam ini akan saya ikat di tiang rumah dan sejak dua tahun banjir melanda, reban ini akan terapung dan tidak dihanyutkan air dan menyelamatkan ayam saya," katanya.

Abu Bakar berkata, kampungnya itu kawasan yang sering ditenggelami air setiap kali tiba musim tengkujuh akibat limpahan Sungai Kemaman yang terletak berhampiran dengan penempatan penduduk.

"Penduduk di sini sudah lali dengan banjir dan sentiasa bersiap sedia dari awal sebelum tiba musim tengkujuh, "katanya.

Berita Harian X