Ahad, 2 Januari 2022 | 3:38pm
Anggota bomba menyelamatkan mangsa banjir yang terperangkap di Kampung Londah, Tampin yang dinaiki air susulan hujan lebat berterusan sejak semalam. - Foto NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin
Anggota bomba menyelamatkan mangsa banjir yang terperangkap di Kampung Londah, Tampin yang dinaiki air susulan hujan lebat berterusan sejak semalam. - Foto NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin

Banjir: Jeritan anak selamatkan anggota bomba sekeluarga

PUTRAJAYA: Jeritan anak mengejutkan seorang anggota bomba daripada tidur apabila rumahnya mula dinaiki air selepas pulang daripada operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa banjir di sekitar Klang, Selangor pada 18 Disember lalu.

Penguasa Kanan Bomba Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Malaysia, Ahmad Zaidi Safuan, 50, seakan tidak percaya rumah yang didiami selama 16 tahun dinaiki air buat pertama kali kira-kira jam 1 pagi itu.

"Suasana pada ketika itu bagaikan mimpi apabila kawasan rumah saya di Taman Meru Setia sudah dinaiki air sehingga paras pinggang susulan hujan berterusan pada ketika itu," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menceritakan kembali detik cemas itu, Ahmad Zaidi pulang ke rumahnya untuk berehat selepas melakukan kerja memindahkan mangsa-mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru, Klang.

"Semasa saya baring di katil kurang dari satu jam, saya dikejutkan dengan jeritan anak lelaki saya yang berusia 11 tahun di tingkat bawah, memaklumkan air sudah masuk ke dalam rumah," katanya.

Beliau kemudian terus mengambil dokumen penting, sijil dan geran kenderaan lalu menyimpannya di atas loteng dan selepas itu terus membawa keluarga ke Balai Bomba Kapar kerana bimbang jika paras air terus meningkat.

Menurutnya, kawasan di sekitar balai itu tinggi kerana telah ditambak setinggi lima kaki namun air banjir juga sudah memasuki ke dalam kawasan balai yang sunyi sepi kerana semua anggota terbabit dalam operasi SAR.

Mengulas lanjut mengenai operasi SAR mangsa banjir, Ahmad Zaidi berkata beliau menerima panggilan telefon bahawa rumah sewa anaknya di Taman Meru 3, Klang turut dinaiki air sehingga paras pinggang pada malam 18 Disember ketika menjalankan operasi SAR menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

"Selepas saya pindahkan mangsa ke PPS di SMK Meru, saya pergi menyelamatkan anak lelaki berusia 26 tahun dan cucu saya berusia setahun dan bawa mereka ke tempat selamat," katanya.

Ahmad Zaidi yang telah berkhidmat selama 31 tahun dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengalami kerugian kerosakan aset rumah dianggarkan bernilai RM8,000 namun, beliau bersyukur kerana keluarganya selamat daripada bencana itu.

Sementara itu, Penguasa Kanan Bomba Bahagian Penyiasatan Kebakaran Malaysia Razali Mohd Nasir, 48, berkata rumahnya di Taman Desa Permai di Meru, Klang turut terjejas dinaiki air.

"Sewaktu kejadian saya berada di rumah dan pada kira-kira 2 petang rumah saya sudah dinaiki air dan kami sekeluarga kemas barang-barang penting dan bawa ke tingkat atas.

"Perabot di rumah saya banyak yang tidak boleh diselamatkan antaranya kabinet dapur, televisyen, katil dan lain-lain turut terjejas," katanya.

Razali berkata beliau bersyukur keluarganya selamat dalam kejadian itu dan menzahirkan penghargaan kepada komuniti setempat yang tidak henti memberi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata seramai 353 pegawai dan anggota bomba terjejas dalam bencana banjir setakat 30 Disember lalu.

"Ada yang tidak sedar keluarga mereka terjejas (banjir) dan ramai juga yang tahu tetapi mengambil keputusan untuk membantu mangsa-mangsa banjir. Mereka (pegawai dan anggota JBPM) hanya mengharapkan bantuan daripada jiran dan juga pasukan penyelamat lain untuk menyelamatkan keluarga mereka," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X